PRN Johor: Tanggungjawab Sangat Besar, Jentera Penerangan Mesti Berganding Bahu – Dr Shamsul

JOHOR BAHRU, 6 Feb – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tanggungjawab yang dipikul oleh jentera penerangan parti di dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sangat besar.

Ekoran itu katanya, semua jentera perlu berganding bahu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai parti serta isu-isu semasa.

“Tanggungjawab sangat besar sebagai jentera Penerangan dan Komunikasi iaitu mesti berganding bahu bagi mewujudkan jentera yang kuat daripada peringkat Pusat, Negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan lokaliti.

“Dengan jentera kuat dan mampu menyampaikan mesej parti pada rakyat kepada semua kelompok, kumpulan dan menguar-uarkan apa jua kebaikan parti dan dalam waktu sama mesti menjawab segala isu-isu.

“Yang jelas semua jentera Penerangan berkerja dengan bersungguh-sungguh bagi membawa dan perjelaskan semua agenda parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup kursus Gempur Penerangan UMNO Negeri Johor semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata telah mengadakan beberapa siri perjumpaan bersama jentera penerangan dari MCA dan MIC serta disusuli dengan parti-parti ‘friends of BN’.

“Kita sedar akan berhadapan dengan suasana pilihan raya yang berbeza dan jangan sesekali beranggapan (mudah) apabila menang di PRN Melaka dan beberapa tempat di Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Dan sebab itu semua jentera harus berkerja bersungguh-sungguh,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.