PRN Johor: Jentera BN Perlu Kekal Momentum Capai Kemenangan

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia Datuk Norshida Ibrahim berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah medan yang sangat penting bagi memastikan momentum  sebagai jentera Barisan Nasional (BN) tetap membara menuju ke arah kemenangan mutlak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ujarnya, BN jangan leka dan terlalu optimis terhadap kemenangan yang besar di PRN Melaka dan siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

“Sememangnya nyata rakyat inginkan kebajikan mereka terbela dan kita perlu fokus ke arah itu. Maka tidak boleh leka!

“Jentera BN perlu bekerja sepenuh jiwa dan raga demi memenuhi dan memenangi hati nurani rakyat.

“Mereka susah dan perlukan perhatian kita. Kita perlu tunjukan bahawa kitalah yang terbaik untuk mereka,” kata Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat itu dalam satu kenyataan di Facebook.

Di samping itu juga jelasnya, BN perlu berhati-hati dan tidak memandang enteng terhadap jentera musuh dan mereka sanggup buat apa sahaja demi menjatuhkan maruah, kredibiliti dan memadamkan usaha parti sewaktu di PRN Johor ini.

“Kekal tenang dan terus bekerja dengan tersusun, semangat dan iltizam yang tinggi adalah kunci kejayaan kita disamping calon yang mempunyai pakej ‘Winnable’, ‘Acceptable’ dan Likeable’ ini mampu memastikan kita mempertahankan kerajaan BN sepenuhnya di Johor.

“Ayuh semua! Kekalkan iltizam dan momentum anda demi Johor yang tercinta,” serunya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.