Matlamat BN Bentuk Kerajaan Stabil, Makmurkan Rakyat… Persekongkolan Pihak Lawan Penuh DNA Fitnah, Hasut, Menipu

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tidak mengapa jika pihak lain mahu bergabung berapa banyak parti sekali pun kerana BN tetap ‘steady’ dan ‘ready’ untuk berdepan cabaran politik.

Menurut Presiden UMNO itu, mereka yang bermusuhan dan berbeza ideologi itu mahu bergabung menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semata-mata demi melawan BN.

“Tentunya mereka tidak kisah apa nasib dan keadaan caca marba negeri Johor selepas itu kerana tujuan mereka hanya mahu menyekat kebangkitan BN.

“BN pula tetap BN yang satu iaitu menyertai pilihan raya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan makmur buat orang Johor,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi, persekongkolan mereka andai terjadi bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana 96 peratus berasal daripada DNA dan kluster yang sama.

“DNA memfitnah, menghasut, menipu, membohongi dan memperdayakan rakyat demi merebut kuasa semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tiga peratus daripada kluster katak dan satu peratus lagi kelompok yang masih keliru tentang agenda perjuangan politik mereka akibat pengaruh rakan baru,” bidas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid, pastinya juga rakyat Johor dapat menilai maknawi ‘jajaran baharu’ berhipokrasi tahap tertinggi sanggup diusahakan mereka demi menghalang BN dan merebut kuasa.

“Ini bermaksud mereka tidak pernah pun jujur dan ikhlas untuk mentadbir Johor dengan baik kerana bagi mereka kuasa lebih utama berbanding tanggungjawab.

“Semoga Bangsa Johor tidak terpedaya sekali lagi dan berpadu mengembalikan kerajaan dominan kerajaan BN untuk sebuah kemajuan dan kesejahteraan yang mutlak,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.