Manifesto BN PRN Johor Rangkumi Setiap Peringkat Usia Masyarakat – Dr Adham

JOHOR BAHRU, 6 Feb – Barisan Nasional (BN) akan menampilkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang merangkumi setiap peringkat usia masyarakat.

Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata manifesto itu akan meliputi semua golongan daripada yang muda, tua, duduk di bandar, luar bandar selain pengundi baharu dan menggariskan lima objektif serta matlamat utama bagi memastikan kerajaan yang kuat, kukuh serta stabil.


“Kita yakin manifesto BN ini bukan sahaja mampu beri peluang dan ruang pekerjaan kepada rakyat Johor malah mewujudkan kerajaan negeri yang cekap dan berintegriti.

“Fokus utama manifesto BN akan turut menyentuh penyediaan pendidikan yang lebih baik selain fokus kepada taraf hidup rakyat yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas bertemu media Johor hari ini.

Ahli Parlimen Tenggara itu juga berkata manifesto akan menggariskan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu Malaysia supaya mampu bersaing dengan negara serantau.

Turut hadir Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Norshida Ibrahim dan Presiden Kelab Media Johor Mohd Fauzi Ishak.

Dr Adham juga berkata BN Johor akan melakukan pembaharuan pada PRN kali ini dengan mewajibkan semua 56 calonnya melantik pegawai media bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat terutama isu semasa kepada pengundi dengan lebih berkesan.

“Ini adalah antara pembaharuan yang akan kita lakukan iaitu BN mengambil maklum suara pengundi yang mahukan setiap calon tampil lebih mesra rakyat dan mudah didekati.

“Langkah ini juga akan memudahkan pengundi selain media mendapat maklumat segera daripada calon terutama apabila timbul isu berbangkit yang perlu dijawab,” katanya.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya pada 9 Feb ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.