UMNO Iktiraf Generasi Muda, Sediakan Platform Dapatkan Pandangan Dan Idea – Shahril 

JOHOR BAHRU, 5 Feb – Ketua Penerangan UMNO yang juga Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan menyifatkan UMNO adalah satu-satunya parti yang mengiktiraf peranan generasi muda dengan menyediakan platform pandangan dan idea mereka.

Menurutnya, ini membuktikan bahawa UMNO memberi pengiktirafan di atas keupayaan dan kebijaksanaan pimpinan generasi muda.

“Ini antara usaha berterusan daripada pihak Pemuda UMNO dan UMNO/Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan dan sentiasa mendampingi orang muda, suara generasi mahasiswa untuk memastikan perjuangan UMNO sentiasa serasi dan relevan dengan kesesuaian zaman.

“Tidak boleh dinafikan dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sudah tentu keperluan lebih mendesak dan penting supaya benar-benar memahami isi hati dan inspirasi generasi undi 18 tahun.

“Saya rasa dalam keserasian antara pengundi muda dan sesebuah parti lebih ‘complicated’ daripada satu isu elemen saja dan yang penting ialah konteks kesegaran dan kesegaran itu akan datang dari calon-calon yang ditawarkan tetapi pada masa yang sama perjuangan, isu, hujah dan manifesto yang diperjuangkan mesti sesuai dengan generasi 18 tahun,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Turut hadir pemimpin-pemimpin mahasiswa dari universiti-universiti tempatan khususnya di Johor dalam sessi dialog santai.

Berhubung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Shahril berkata semua parti termasuk Barisan Nasional (BN) dilihat telah bergerak aktif walaupun prosedur operasi standard (SOP) masih belum diumumkan.

“Kerancakan turunnya parti-parti politik termasuk BN sebenarnya cerminan betapa pentingnya semua parti politik melihat PRN Johor walaupun tarikh dan SOP belum jelas.

“UMNO sudah turun dengan agresif di peringkat awal lagi. Itu adalah cerminan penting bagi PRN Johor dan nampak semua parti mengiktiraf realiti, ” katanya lagi.

Dalam pada itu Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat itu juga berharap pada PRN Johor dan zaman pandemik ini harus menyesuaikan apa-apa SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya rasa zaman ini kena sesuaikan apa saja SOP. Sewaktu PRN Melaka di atas kertas nampak susah tapi akhirnya BN dengan kaedah dan kekuatan asas dapat memenangi PRN Melaka dan bukan hanya 2/3 tetapi 3/4 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Sebenarnya… ini zaman baharu, era baharu parti yang boleh menyesuaikan diri dengan lebih cepat berbanding mengharapkan sesuatu yang berlaku dan ianya lebih baik fokus kepada peraturan daripada cuba mengubah peraturan yang bukan di bawah kawalan kita,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan