Rakyat Johor Mahukan Kestabilan Ditadbir BN – Ahmad

BAKRI, 5 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerima pelbagai luahan daripada rakyat di Johor yang berharap agar negeri ini ditadbir sebaiknya di bawah kerajaan yang stabil.

Katanya, malah rakyat melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sebagai medium untuk memastikan negeri ini dipimpin oleh parti yang mendokong aspirasi mereka sekaligus memakmurkan Johor.

“Mereka inginkan ialah kestabilan kerajaan negeri Johor dan menyampaikan pada saya ketika sesi dialog… keyakinan untuk kita menang dengan syarat bahawa jentera yang kita ada ini bekerja keras.

“Saya nampak ada semangat, kebangkitan baharu UMNO dan BN Johor untuk menebus kekalahan sebelum ini, ketika kunjungan saya lihat di semua bahagian bahawa kebangkitan untuk BN memerintah dengan kukuh di negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan bersama UMNO Bahagian Bakri yang turut dihadiri Ketuanya, Mohd Fuad Tukirin serta kepimpinan bahagian.

Terdahulu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian hari ini berkunjung ke UMNO Bahagian Ledang dan Muar.

Pada hari sebelumnya beliau ke Kulai, Pengerang, Mersing, Kota Tinggi, Tebrau dan Tenggara untuk pertemuan bersama kepimpinan bahagian sebagai meninjau persiapan menuju ke PRN Johor.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan hasil pertemuan bersama bahagian-bahagian tersebut termasuk gerak kerja yang dirancang dan dilaksana.

“Saya ingin lihat ialah persiapan yang rapi bagi pihak UMNO Pusat dan Negeri setakat ini saya ditunjukkan dengan data-data terkini memang sudah ada di setiap Parlimen.

“Satu lagi yang saya lihat jentera sudah ada jawatan-jawatannya, mungkin juga masih ada lagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang belum bermesyuarat.

“Harap semua PDM bermesyuarat supaya mereka boleh mengaturkan dengan baik segala usaha di tempat masing-masing demi kemenangan calon-calon UMNO dan BN,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.