Konsisten Dekati Golongan Muda, Diyakini Pilih BN – Dr Adham

TENGGARA, 5 Feb – UMNO Bahagian Tenggara bersedia untuk berhadapan pengundi baharu yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata gerak kerja telah diatur sejak awal lagi dalam mendekati golongan muda bagi memberi pendedahan kepada mereka dengan kepimpinan UMNO bahagian.

“Kita tahu ada penambahan 20,000 undi pengundi baru manakala sekitar 5,000 pengundi yang berumur 18 sehingga 21 tahun. Gerak kerja kita telah diatur mengikut beberapa fasa dengan strategi dengan mengetahui bahawa ada kebarangkalian mereka ini dibenarkan mengundi.

“Jadi untuk fasa ini 2020 hingga 2021 kita telah pun memulakan gerakan dekati generasi di bawah umur 18 tahun untuk mereka mencapai 21 tahun dan mereka ini kebanyakkan telah pun diberi pendedahan berkenaan dengan pimpinan UMNO Tenggara.

“Termasuk ahli Parlimen pernah menjadi pembangkang pada 22 bulan tetapi selepas itu menjadi menteri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Rashidah Ismail dan Panti, Hahasrin Hashim. Jadi ikon-ikon ini yang akan diketengahkan pada DUN di kawasan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada perjumpaan UMNO bahagian bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini.

Dr Adham juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan beliau turut menghargai usaha dilakukan oleh sayap bahagian yang komited di dalam mendekati golongan ini bagi meraih sokongan untuk mengekalkan Parlimen Tenggara sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Sokongan daripada sayap Pemuda dan Puteri berterusan bekerja dari awal tidak mengenal masa dan juga waktu bersama-sama dengan pemimpin belia serta anak-anak Felda generasi kedua… ada tujuh Felda di sini mempunyai bilangan pengundi yang agak ramai.

“Tenggara boleh dikatakan sebagai fixed deposit bagi BN saya sebagai Ketua Bahagian dan rakan-rakan lain bukan buat kerja last minit tapi sejak awal lagi,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.