Khianat Gabungan Dan Pengasas Parti Sendiri Untuk Jadi PM, ‘Scheme of Things’… Itu Baru Rakus, Tamak Kuasa

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Khianat kepada gabungan sendiri dan pengasas parti dengan langkah Sheraton supaya ganti pengasas parti untuk menjadi Perdana Menteri (PM) itulah sebenarnya tindakan rakus, tamak kuasa dan gila kuasa, bidas bekas PM Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Demikian salah satu respon Najib berhubung tuduhan PPBM dan Perikatan Nasional (PN) yang sering kata UMNO rakus, gila kuasa atau tamak kuasa kerana bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Begitu juga tambah Najib erti ‘tamak kuasa’ adalah membeli dan menyogok Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk mengekalkan jawatan PM.

“’Scheme of things’ untuk beli dan sogok ahli-ahli Parlimen UMNO untuk kekalkan jawatan sendiri sebagai PM.

“Menerima individu-individu yang dikaitkan dengan semburit, rasuah dan segala katak untuk menjadi PM.

“Buat darurat untuk gantungkan Parlimen dan membuat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) separuh masak berbulan-bulan lamanya untuk menyeksa rakyat bagi mengelak sendiri ditumbangkan di Parlimen,” kata Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional dalam satu hantaran di Facebook.

Selain itu kata Najib mengenai tindakan mereka menderhaka kepada titah-titah Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kerana banyak kali mengelak Parlimen bersambung serta-merta.

“…dan tidak berani membahas Ordinan Darurat seperti dititah untuk elak kalah undian Parlimen (dan mereka tumbang) sehingga YDPA keluarkan titah baginda sudah murka.

“Faham ke belum? Soalnya lagi berhubung makna ‘tamak kuasa’.

Jelasnya, ini berbeza dengan mengadakan PRN Johor untuk kembalikan mandat kepada rakyat kerana seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM meninggal dunia serta kedudukan kerajaan Johor cuma ada 28 dari 56 kerusi ADUN pada ketika pelaburan ke Johor semakin menurun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas sebab kerajaan negeri tidak stabil.

“Ini adalah langkah mengembalikan mandat supaya rakyat pilih sendiri. Cara paling demokrasi.

“Tiada jaminan pun bahawa UMNO dan BN yang dituduh mereka sebagai rasuah dan tamak akan menang. Kenapa sendiri tak konfiden biarpun sendiri mengaku sendiri hebat dan paling prihatin rakyat?,” soal Najib lagi.

Tambah Najib di dalam satu status berasingan, sekiranya UMNO tamak kuasa, UMNO Johor tidak buat PRN untuk kembalikan mandat kepada rakyat selepas ADUN PPBM meninggal dunia.
“UMNO Johor buat darurat saja atau buat ‘scheme of things’ untuk sogok ADUN lompat masuk seperti seorang itu.

“Faham?,” tanyanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.