Misi UMNO Terus Mara Ke Depan, Tinggalkan Episod Yang Berlaku Hari Ini – Khaled

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk  Seri Mohamed Khaled Nordin berkata misi UMNO hari ini adalah untuk terus mara ke hadapan dan meninggalkan segala episod yang berlaku hari ini.

Menurut beliau, yang akan menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) ialah sokongan masyarakat pelbagai kaum dan semestinya keutamaan harus diberikan untuk meraih sokongan masyarakat majmuk Johor.

“Pas terus melemparkan segala ugutan, tomahan dan sanggahan terhadap UMNO. Tiada faedahnya terus melayan karenah Pas. Pendirian UMNO telah terang lagi bersuluh.

“Hanya Pas yang tidak tahu apa yang ia kehendaki. Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka di buang sayang, di telan pahit. Misi UMNO dan BN seterusnya ialah untuk terus mara kehadapan dan meninggalkan episod ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi rakan-rakan UMNO dalam BN mesti memahami soal ini bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan kepada UMNO semata-mata malah mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai Kerajaan.

Tambahnya lagi, meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting dan antara sebabnya yang pertama ialah formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen mesti dikembalikan.

“Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam Kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif. Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok.

“Keduanya, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam Kerajaan dan pentadbiran.

“Telah sampai masanya mereka menjadi sebahagian dari Kerajaan dan menguruskan negeri dan negara ini secara bersama dengan UMNO, parti terbesar orang Melayu. Terimalah hakikat bahawa hanya dengan UMNO, kestabilan politik dan perkongsian kuasa itu boleh diuruskan dengan jayanya,” ujarnya.

Tegasnya 61 tahun pengundi bukan Melayu memberikan kepercayaan kepada BN dan sekarang adalah masa untuk kembali ke pangkuan BN.

“Walaupun BN bukan sempurna, tetapi ia pasti lebih baik dari PH dan PN dalam menjamin kepentingan politik bukan Melayu,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.