Minit Ahmad Zahid bukan satu arahan – Bekas KSU KDN

SHAH ALAM, 3 Feb – Mahkamah Tinggi pada Khamis diberitahu bahawa catatan minit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada surat pelanjutan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi pelaksanaan sistem Visa Luar Negara (VLN) bukan satu arahan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Alwi Ibrahim berkata, berdasarkan catatan minit oleh Ahmad Zahid pada 18 Oktober 2016 yang dihantar kepadanya, ia adalah satu persetujuan.

Catatan minit itu menyatakan “Datuk Seri KSU/ Datuk PUU, saya tiada halangan pelanjutan kontrak tempoh enam tahun sehingga 31 Ogos 2025, seperti tercatat dalam perjanjian perkara 2.2.1 yang sedia ada. Sila sediakan perjanjian tambahan untuk merealisasikannya dengan kadar segera”.

Semasa disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, berdasarkan ayat pada perenggan 10 kenyataan saksi Alwi, 63, (catatan minit Ahmad Zahid), ia bukan satu arahan tetapi persetujuan, Alwi menjawab: “Setuju.”

Ahmad Zaidi: Apa pemahaman Tan Sri (Alwi) tentang minit Datuk Seri Zahid yang menyatakan ‘merealisasikannya dengan kadar segera’?
Alwi: Pemahaman saya ia perlu dibuat dengan cepat.

Ahmad Zaidi: Berapa cepat, seminggu, dua minggu?

Alwi: Bergantung kepada kontrak sesuatu kes.

Alwi juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa walaupun ia diminitkan (catatan minit Ahmad Zahid) dengan kadar segera namun ia masih tertakhluk pada prosedur di KDN.