Kemenangan PRK Lalu Bakar Semangat Jentera BN Tanjung Piai Pada PRN Johor – Jefridin

TANJUNG PIAI, 2 Feb – Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan bertekad untuk terus mengekalkan momentum kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Katanya, kemenangan lalu telah menyemarakkan momentum positif serta membakar semangat juang ahli serta pendokong parti selain  kepimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai itu sendiri untuk terus mempertingkatkan lagi gerak kerja di semua peringkat.

“Momentum kemenangan pada PRK lalu dikekalkan sehingga berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Gerak kerja UMNO Tanjung Piai yang paling utama memperkukuhkan jentera selain terus membela rakyat.

“Keuntungan UMNO di Tanjung Piai adalah pada dua tahun lepas telah diadakan PRK Parlimen Tanjung Piai dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dan ini tentunya melonjakkan lagi jentera kita.

“Apa pun kita telah lama bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor walaupun hanya mendengar desas desus mengatakan Johor akan mengadakan PRN,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara merakam ucapan terima kasih dan menghargai usaha yang dilakukan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turun padang memberi ingatan dan bimbingan kepada kepimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai.

“Dengan kehadiran SUA UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dimana beliau banyak memberi bimbingan, ingatan dan tunjuk ajar kepada semua lapisan kepimpinan UMNO Bahagian.

“UMNO Tanjung Piai begitu yakin bagi DUN Kukup dan Pekan Nanas akan  menyumbang kerusi untum BN di DUN Johor,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.