PRN Johor Stabilkan Negeri, Yakinkan Pelabur Untuk Limpahan Faedah Pelbagai Peringkat – Adham

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Sesebuah kerajaan yang stabil baik di peringkat pusat mahupun negeri, ianya adalah satu paksi kepada lonjakan ekonomi menerusi pelaburan tinggi, sekaligus merancakkan pelbagai sektor industri yang akhirnya limpahan faedah akan dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan peringkat.

Hal inilah yang berkait rapat dengan apa yang berlaku di Johor apabila sebelum ini negerinya ditadbir menerusi kerajaan yang tipis dan pada masa yang sama bergantung harap dengan ihsan beberapa pihak lain dalam menguruskan sebuah negeri yang maju.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Dr Adham Baba melihat soal berkenaan sememangnya tidak dapat dinafikan dan inilah yang Barisan Nasional (BN) mahu bawa supaya kestabilan yang dapat dicapai selepas ini benar-benar memberi manfaat sekaligus melicinkan pentadbiran kerajaan yang akan ditubuhkan kelak.

“Kestabilan bukan sahaja mampu menjadikan politik negeri aman malah sudah pasti akan dapat melonjakkan ekonomi negeri apabila pelaburan meningkat dan pelabur yakin untuk membuat pelaburan.

“Kerajaan yang stabil sudah pasti mempunyai mempunyai dasar yang baik dan menerusi pelan tindakan yang akan dilaksanakan kelak tentu sekali akan meyakinkan pelbagai pihak…terutamanya bagaimana ekonomi dapat ditingkatkan dan juga bagaimana dunia perniagaan itu dapat dirancakkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi dengan itu sekaligus  bukan sahaja memberi peluang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat tetapi juga ianya mampu untuk membawa pelbagai bentuk pelaburan yang berkualiti dan termaju demi untuk membangunkan negeri.

“Limpahannya kelak sudah pasti mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan kerajaan itu sendiri selain persedian untuk berdepan dengan pelbagai cabaran lain yang mungkin tidak dijangkakan akan berlaku pada masa depan, ini sedikit sebanyak dapat membantu kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara seterusnya menaruh keyakinan rakyat khususnya pengundi akan membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Kita percaya mereka yakin dengan penampilan dan apa yang akan ditawarkan oleh BN Johor nanti dalam usaha melahirkan sebuah pentadbiran yang stabil untuk negeri dan rakyat itu sendiri. Malah kita optimis, semangat dan juga aspirasi yang telah ditunjukkan oleh para pengundi termasuklah generasi muda terhadap kerajaan pimpinan Datuk Ir Hasni yang berjaya mengemudi kerajan Johor dengan baik.,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.