Biar Rakyat Tentukan Masa Depan Negara – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan memang benar fokus hari ini adalah membangunkan negara dan rakyat.

Menerusi Facebooknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong turut mengepilkan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan tidak menafikan kenyataan berkenaan.

“Saya tidak menafikan apa yang disebut. Fokus mesti diberikan untuk membangunkan negara dan rakyat. Kerana ini beri kuasa semula kepada rakyat,” katanya.

Katanya lagi biarlah rakyat yang menentukan dan masing-masing membuat pilihan sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh dan mampu menerajui kerajaan.

“Biar rakyat pilih sebuah kerajaan yang stabil dan diyakini. Hanya kestabilan kerajaan sahaja mampu menyelesaikan masalah. Dan suhu politik diredakan sebagaimana Melaka. Lantas tumpuan boleh dibuat untuk rakyat dan negara ini.

“Hakikatnya ekonomi dan keyakinan pelbagai pihak kepada negara mesti diperkukuhkan semula. Jika tidak kita akan jauh ditinggalkan,” ujarnya.

Memetik laporan, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meluahkan pandangannya dalam Twitter mengenai perihal politik semasa tanah air.

‘Hari-hari bergaduh berebut kuasa’. Malah jelas beliau, bukan sahaja itu, pemimpin politik negara dilihat bertungkus-lumus merancang untuk menjatuhkan semasa sendiri bagi kepentingan diri.

“Negara lain lebih maju kerana pemimpin politik bertungkus-lumus membangunkan ekonomi dan tahap kehidupan rakyat mereka,” katanya. -UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.