Manipulasi Kenyataan PM, Setiausaha Politik Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus hari ini membuat laporan polis terhadap tiga portal media yang bertindak menyiarkan laporan tidak benar mengenai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya portal tersebut dengan secara sengaja dan tidak beretika telah membuat laporan yang salah dengan niat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti serta nama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO itu.

“Laporan ini dibuat berhubung tiga artikel tersebut yang tidak tepat dan palsu berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Artikel di Agenddaily yang bertajuk Ismail Sabri Bimbang Jadi PM Paling Singkat, Rayu Jangan Tarik Sokongan yang disiarkan pada 30 Januari 2022 dan diulang siar oleh The Malaysia Life dengan tajuk Ismail Sabri Rayu Jangan Tarik Sokongan Bimbang Jadi PM Paling Singkat, serta daripada dialograkyat.blogspot tarikh dan tajuk pada hari yang sama iaitu Ismail Sabri Rayu Jangan Tarik Sokongan Bimbang Jadi PM Paling Singkat.

“Kenyataan ini yang telah dimanipulasikan oleh ketiga-tiga portal tersebut daripada kenyataan sebenar Perdana Menteri ketika ditanya oleh pemberita pada suatu majlis di Bera pada Sabtu 29 Januari 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 2.00 petang tadi.

Sementara itu, tambah Mohammad Anuar lagi pada sidang media yang sama di Bera, pemberita dari portal tersebut juga tidak hadir.

“Laporan ini dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pemilik dua portal tersebut kerana memutar belitkan, menyiar dan menyebarkan berita palsu sehingga menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri dan menimbulkan kegusaran rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.