PRN Johor Demi Masa Depan, Tolak Isu Remeh Kelirukan Rakyat – Dr Puad

BATU PAHAT, 30 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan sewajarnya pihak pembangkang tidak perlu memainkan isu yang remeh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Ini kerana katanya, keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Johor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ‘kluster mahkamah’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Sebenarnya pembangkang tiada alasan yang kukuh mengatakan PRN Johor ini tidak wajar dan mereka memainkan isu remeh kononnya Kluster Mahkamah yang mahukan PRN.

“Paling penting memahami kewajaran PRN Johor ini diadakan. Pihak pembangkang menjadikan ia sebagai isu untuk mempengaruhi rakyat bahawa pembubaran ini tidak perlu dan ianya satu pembaziran. Akhirnya isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang lebih kepada mengelirukan rakyat dengan persepsi-persepsi yang negatif dan tidak berasas.

“Pada UMNO lebih membazir sekiranya kerajaan Negeri ini tidak dapat berfungsi dengan licin dari segi pentadbiran terutamanya untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela dengan dasar-dasar yang efisien dan boleh dilaksanakan,” katanya kepada UMNO Online, disini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata Negeri Johor ini adalah pintu masuk ke Singapura dan persaingannya adalah Singapura, maka ianya perlu ada sebuah kerajaan Negeri yang kukuh dan padu.

“Kalau mempunyai dan memiliki majoriti yang kukuh bermakna boleh melakukan yang lebih baik (we can’t do better) untuk rakyat Johor dengan sebuah kerajaan Negeri yang majoriti dan kukuh,” katanya lagi.

Kata Dr Puad lagi, sebenarnya UMNO mahu beri tawaran yang terbaik kepada rakyat apabila ada PRN dan UMNO adalah ‘gentlement’.

“UMNO tidak mahu membeli wakil rakyat untuk mewujudkan kerajaan majoriti kukuh tetapi memulangkan kepada rakyat, menggunakan kebijaksanaan mereka supaya rakyat dapat memberikan mandat pada kerajaan dengan majoriti kukuh dan bukannya beli,” jelasnya.

Ujarnya, sebab itu terdapat banyak gangguan, seperti contohnya apabila UMNO hendak melantik Senator daripada MCA, pihak PPBM tidak bersetuju dan apabila tidak bersetuju maka nama calon tersebut tidak boleh dibawa ke DUN untuk diluluskan.

“Mengenai bajet Negeri pihak pembangkang berkecuali tapi apabila bajet dibentangkan di DUN walaupun berkecuali namun bajet itu lulus. Jikalau pembangkang menentang dan ada wakil rakyat dari BN yang sakit dan tidak dapat hadir maka bajet untuk kerajaan Negeri Johor tidak akan lulus,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.