Undi 18: Anak Muda Bijak Menilai Keupayaan BN – Bastien

JOHOR BAHRU, 28 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastien Onn melahirkan keyakinan dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan anak muda bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya, ini kerana golongan muda semestinya melihat kepada rekod perkhidmatan gabungan ini yang telah melakukan pelbagai jasa dan pembangunan berterusan kepada negara.

“Sebagai sebahagian daripada kepimpinan Pemuda UMNO kita mengalu-alu dan merasa gembira dengan kehadiran mereka dalam demokrasi dan kita percaya BN boleh menagih undi golongan ini setelah melihat jasa dan keupayaan parti ini mengepalai kerajaan.

“Kita satu-satunya kerajaan yang telah menyedia dan memikirkan kepelbagaian perkara yang berkisar kepada masa depan pengundi 18.

“Dari alam persekolahan, universiti sehingga pelbagai lagi program yang menyentuh kepada masa depan, hanya BN sahaja yang boleh menceritakan soal ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Malah tambah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat itu, anak muda semestinya melihat senario politik yang terdahulu dan kini malah boleh menilai pencapaian yang dilakukan BN berbanding parti lain.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu berbuat apa-apa sepanjang 22 bulan begitu juga Perikatan Nasional (PN) yang terlalu baharu dan pentadbiran pada hari ini merupakan kerajaan didirikan hasil daripada kejatuhan kerajaan yang roboh.

“Jadi kita mahu melakukannya semula… insya-Allah PRN ini langkah pertama sebelum kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” ujar beliau lagi.

PRN Johor ini bakal menyaksikan pertambahan sebanyak 30 peratus pengundi baharu iaitu 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik sebagai pemilih.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada PRU-14. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.