UMNO Jaga Kepentingan Akar Umbi, Bukan Kelompok Kecil Yang Jumud Dengan Agenda Sendiri

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO sebagai sebuah parti harus rasional untuk menjaga kepentingan akar umbi berbanding menjaga kepentingan kelompok kecil yang kepompong pemikirannya mungkin terlalu jumud untuk agenda tersendiri.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, beliau perlu menekankan ayat sebegitu supaya fakta meresap ke dalam fikiran dan sanubari mereka yang berkenaan sekaligus berhenti daripada mencetuskan polemik yang tidak memanfaatkan UMNO dan ahlinya.

“Nasihat saya jika tidak berupaya jadi garam, jangan pula menjadi langau.

“Janganlah kita menjadi duri dalam daging semasa UMNO sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak. Perkukuhkan, perkasakan, perhebatkan UMNO dengan kekuatan kita sendiri,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Ahmad Zahid turut mengulas, di dalam wawancara di NRChannel pada Jumaat, 21 Januari lalu beliau menjelaskan hanya enam daripada 190 bahagian UMNO di seluruh negara mengemukakan usul supaya diadakan pemilihan parti dahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Bukan niat untuk membidas pihak yang mendakwa konon 96 bahagian UMNO mahu pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU-15, namun itulah kebenarannya dan saya wajib menyatakan kebenaran apabila ditanyakan tentang hal tersebut.

“Seperti diperjelaskan saya tidak tahu bagaimana pihak yang membuat dakwaan itu mendapat angka 96, namun laporan yang saya terima daripada bahagian-bahagian UMNO adalah yang rasmi dan sahih,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Justeru katanya, sebagai Presiden parti beliau tidak boleh membuat kesimpulan hanya bersandarkan ‘hearsay’ kerana perkara itu melibatkan kepentingan dan kehendak majoriti 3.3 juta ahli UMNO di seluruh negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.