Jangan Biarkan Budaya Lompat Parti Terus Menular – Norshida

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata fenomena lompat atau keluar parti begitu sinonim dengan senario politik di Malaysia namun, perlu diingat situasi ini akan menyebabkan pengundi di kawasan tersebut hilang keyakinan terhadap seseorang wakil rakyat.

Tegas beliau, para pengundi pasti akan lebih berhati-hati untuk menyokong wakil rakyat tersebut pada pilihan raya negeri dan pilihan raya umum yang akan datang dan situasi ini sekali gus akan menyebabkan ADUN berkenaan sukar untuk kekal di persada politik tempatan kerana kehilangan sokongan daripada rakyat.

“Walau bagaimanapun, jika tindakan keluar parti ini dilihat sebagai tindakan yang wajar oleh majoriti pengundi di kawasan DUN tersebut maka, peluang untuk wakil rakyat ini dipilih semula masih cerah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata Norshida lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, perkembangan politik di Malaysia mungkin mengembalikan peristiwa dekad 70-an dan 80-an apabila trend meninggalkan parti menjadi budaya.

Beliau seterusnya menambah parti politik yang telibat dalam menerima ADUN lompat perlu ingat, pengundi masa kini khususnya golongan muda dan umur pertengahan semakin matang untuk menilai sikap wakil rakyat.

“Keyakinan rakyat akan menjadi pudar jika wakil rakyat yang mereka pilih bertindak meninggalkan parti yang diwakili semasa pilihan raya yang lalu. Lompat parti umpama seperti perjudian nasib dan masa depan. Salah satu perjudian yang biasa dilihat adalah menukar sokongan dengan harapan mendapat kuasa lebih besar.

“Akhir sekali, parti yang menerima ADUN yang melompat parti perlu bersedia menerima kesan buruk terhadap imej dan keutuhan partinya berikutan beberapa pemimpin mereka melompat parti atau “lompat katak”.

“Kebanyakkan pemimpin melompat parti kerana masalah peribadi termasuk masalah kewangan, gagal dapat apa yang dihajati daripada parti, tiada kerjasama daripada anggota parti dan gagal berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.