Kerangka Baharu Sistem Statistik Negara Pelengkap Kesejahteraan Keluarga Malaysia – PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) hari ini mengadakan mesyuarat pertamanya yang berlangsung di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata MSDN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan dan hala tuju bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

Menurutnya, antara keputusan yang dibuat dalam mesyuarat hari ini adalah Jabatan Perangkaan Malaysia akan diperkasakan sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

Selain itu, katanya, Ketua Pegawai Data (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian/ jabatan/ agensi persekutuan dan negeri mulai 2022 secara berperingkat dan seterusnya pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

“Data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis panduan ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan.

“Krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara turut menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

“Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik,” jelasnya.

MSDN dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan yang bertindak sebagai Sekretariat.

Menurut perdana menteri, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan hala tuju MSDN.

Empat Kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah Jawatankuasa Eksekutif, iaitu Kluster Ekonomi, Pertanian & Perindustrian yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kluster Pendidikan, Sosial & Kependudukan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); Kluster Kesejahteraan, Keselamatan & Kesihatan yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF); dan Kluster Infrastruktur, Teknologi & Alam Sekitar yang dipengerusikan oleh KSU Kementerian Kerja Raya (KKR).

Katanya Jawatankuasa Eksekutif ini berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

Selain itu, ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan hala tuju MSDN.

“Bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/ Wilayah (MSDNgW) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Ismail Sabri berkata, MSDN turut mengambil maklum bahawa Jabatan Perangkaan sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Ini bagi memastikan statistik rasmi adalah berwibawa dan berintegriti,” katanya.

Perdana menteri berharap penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.