Tolak Tohmahan… UMNO/BN Utamakan Kestabilan, Bukan Kejar Kuasa – Adham

JOHOR BAHRU, 26 Jan – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Sabtu lalu bukanlah satu langkah UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mengejar kuasa apatah lagi jika ditohmah kononnya parti terbabit ghairah menerajui kerajaan negeri, sebaliknya bertujuan untuk mewujudkan kestabilan di peringkat kerajaan Johor.

Perkara tersebut ditekankan oleh Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba yang menekankan bahawa perlunya kestabilan dalam soal pemerintahan.

“Ini berkisar bagaimana kita perlu wujudkan kestabilan dalam kerajaan. Ia berikutan dengan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian sebelum ini.

“Sekiranya kita tidak mengambil pendirian untuk mengadakan PRN bermakna kerajaan yang ada hari ini mungkin dalam keadaan yang tidak boleh menjalankan tugas dengan selesa.

“Oleh itu saya yakin kita mampu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik sekiranya mandat baharu diberikan kepada calon BN kelak kerana kerajaan yang stabil mampu untuk memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi sebuah kerajaan negeri yang stabil tentunya bakal memberi limpahan manfaat serta faedah yang menyeluruh untuk rakyat serta negeri itu sendiri.

“Ini penting antara lain untuk meningkatkan keupayaan serta peningkatan ekonomi menerusi kemasukan pelaburan sekaligus bakal mewujudkan peluang pekerjaan serta tentu sekali dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat .

“Jadi dengan adanya sebuah kerajaan yang lebih kukuh dan stabil dan mempunyai majoriti kita yakin akan dapat melaksanakan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.” ujarnya.

DUN Johor dibubarkan pada Sabtu selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memaklumkan tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan mengundi biasa bagi PRN Johor selepas mesyuarat khas mereka pada 9 Februari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.