PRN Johor: BN Boleh Guna Pendekatan Sama Seperti PRN Melaka – Mahdzir

KOTA BHARU, 26 Jan – Barisan Nasional (BN) boleh mengambil pendekatan yang sama untuk digunakan semasa kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menghadapi PRN Johor kelak kerana strategi yang digunakan membuktikan kejayaan itu berpihak kepada parti itu.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata namun begitu apa jua strategi yang diambil akan diberikan sokongan padu oleh jentera parti.

“BN boleh menggunakan pendekatan dan strategi yang diambil semasa di PRN Melaka kerana ia (BN) ada peluang untuk menang di PRN Johor,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Sebelum ini, BN Johor menyatakan cadangan bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu kerana yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN berkenaan.

Pada PRN Melaka Nov tahun lepas, BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus mendapat majoriti lebih 2/3 kerusi dan menubuhkan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, mengenai pertemuannya dengan Ahmad, beliau berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan negeri Kelantan hari ini bersetuju untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkepentingan rakyat.

“Pengambilan tanah itu membabitkan projek di bawah agensi KPLB, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini akan diperkemaskan sebagai susulan kepada persetujuan yang dicapai hari ini dan menetapkan sasaran dalam tempoh lima bulan untuk menggerakkan inisiatif yang dipersetujui tersebut,” katanya. – BERNAMA