PRN Johor: UMNO/BN Mahu Kestabilan, Serah Mandat Pada Rakyat … Tolak Dakwaan Kemaruk Kuasa

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional. Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dengan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih dan menentukan kerajaan pilihan mereka.

Katanya, ini penting agar semua pihak akan berkeyakinan dengan kerajaan yang dibentuk daripada mandat dan kuasa rakyat.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian sebagai menolak dakwaan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan yang tidak berhenti-henti menggunakan istilah ‘kluster makamah’ menuduh PRN Johor diadakan sebagai cara untuk melarikan diri daripada dipenjarakan dan dilakukan oleh orang terdesak yang kemaruk kuasa dan takut penjara.

“Setelah merangka Manifesto PH PRU14 yang ternyata gagal dilaksana, PPBM yang juga gagal membawa PTPTN ke tahap yang lebih baik ‘bersangka jahat’. Ini adalah kenyataan tidak berasas dan kehabisan modal,” katanya menerusi hantaran dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Tegasnya, kenyataan pemimpin PPBM terbabit tiada lain hanya dengan niat mahu menimbulkan kemarahan rakyat kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) ekoran pembubaran DUN Negeri Johor.

“Faktanya DUN Johor dibubarkan atas perkenan Tuanku Sultan Johor setelah dipersembahkan oleh YAB Menteri Besar Johor sesuai dengan Undang-undang Negeri Johor. Pasti keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai perkara.

“Kerana itu memberikan gambaran kononnya DUN Johor dibubar atas desakan ‘Kluster Makamah’ sangat tidak wajar.”

Terangnya, UMNO/BN adalah parti yang utamakan kepentingan rakyat dan tidak membuat keputusan atas kepentingan individu, malah rakyat Negeri Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.

“Membubarkan DUN Johor yang akhirnya membawa kepada PRN Johor adalah gambaran bertanggungjawabnya UMNO/BN dengan menyerahkan kembali kuasa memilih kepada rakyat agar rakyat Johor dapat menentukan kerajaan yang benar benar memimpin Negeri Johor di atas mandat sebenar daripada rakyat. Yakni kerajaan yang rakyat inginkan.

“Kerana itu BN/UMNO tidak membuat keputusan tanpa penelitian mendalam. Mandat diperoleh dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor setelah mendapat pandangan MT UMNO adalah bukti kesepakatan diperolehi sebelum suatu keputusan dibuat. Ini dalil yang sama sekali menolak apa yang dinyatakan oleh Ketua Penerangan PPBM.

“Bila Ketua Penerangan PPBM berkata ‘Politik Johor stabil… tiada sebab langsung untuk mengadakan pilihan raya, kecuali nafsu segelintir orang dalam UMNO’. Itu pandangan singkat beliau.”

Realitinya kata Shamsul Anuar, apabila kematian ADUN Kempas (PPBM) pada Disember 2022 lalu, kedudukan Kerajaan BN + PN Johor sangat rapuh.

“Keadaan ini menambah ketidakstabilan Kerajaan BN + PN di Johor. Daripada 56 kerusi. Untuk mendapat majoriti mudah ialah 29 kerusi. Hari ini (sebelum dibubarkan), kerajaan Johor ada 28 kerusi (BN + PN) manakala PH memiliki 27 kerusi.

“Bayangkan sekiranya berlaku undian penting dan kedudukan undiannya sama (seri), maka Speaker DUN berhak mengundi. Tentu Kerajaan BN + PN Johor menghadapi kesukaran kerana Speaker merupakan wakil dari parti Amanah.

“Biarpun Ketua Penerangan PPBM kata kerajaan ini stabil namun keadaan kerajaan sebegini tidak memberikan keyakinan kepada pelbagai pihak yang lain.”

Jelasnya lagi, Johor negeri yang strategik di Selatan Semenanjung Malaysia maka mesti punya kerajaan negeri yang stabil kerana saingan Johor adalah Singapura.

“Bagaimana ekonomi mahu berkembang baik jika situasi politik begini? Ruginya ialah rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Sabtu lalu telah berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.