PRN Johor: Hanya Mandat Rakyat Dapat Tentukan Kerajaan – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata pilihan raya adalah proses yang tidak boleh dielak kerana ia memberi semula kuasa kepada rakyat.

Katanya, hanya mandat baharu yang diberikan oleh rakyat akan dapat membangunkan negeri agar lebih maju dan berjaya.

“Pilihan raya patut diadakan supaya diberikan balik mandat kepada rakyat kerana ini adalah demokrasi dan rakyat menentukan. Kita harus utamakan mandat rakyat dan kuasa itu datang dari mandat rakyat.

“Apa yang kita hendak adalah rakyat Johor menang dengan buat keputusan yang baik, mendapat kerajaan yang baik supaya negeri yang disayangi ini boleh bangun dan bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen FBLive mengupas tajuk ‘Peluang Barisan Nasional Johor’, malam tadi.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berpandangan apabila BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu seolah-olah kerajaan Negeri Johor tidak wujud dan mereka tidak tahu mentadbir.

“Kita rasa macam tidak ada kerajaan yang wujud di bawah Pakatan Harapan (PH) malah langsung tidak tahu mentadbir sedangkan Johor ini adalah sebuah negeri yang hebat.

“Rakyat mahu melihat sebuah negeri yang hebat dan memberi harapan kerana adanya perubahan yang ketara dibawa serta boleh membanggakan rakyat tapi semuanya tiada hasil untuk rakyat,” jelas beliau.

Tambah Shahrir, semasa pemerintahan PH dilaksanakan terdapat dua menteri besar yang berasal dari PPBM namun mereka ini tidak tahu mengurus negeri.

“Kerajaan yang PH tubuhkan ini tidak berfungsi kerana ianya kerajaan ‘empat suku’ iaitu sukunya pada Dap, PKR, PAN dan PPBM. Mereka ini tidak biasa menguruskan kerajaan negeri dan tidak memahaminya.

“Dalam masa 22 bulan terdapat dua menteri besar dari PH dan mereka tidak boleh mentadbir Negeri Johor. Kita anggap Johor ini sebuah negeri yang hebat, rakyat yang hebat dan sejarah yang hebat tapi lepas PRU ke-14 kita tidak boleh dapat kerajaan yang hebat,” ujarnya lagi.

Tanpa mandat rakyat maka bagaimana hendak menjadikan Negeri Johor ini semakin hebat, soalnya lagi.

Dilaporkan, pembubaran DUN Johor dilaksana Sabtu lalu selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah berkenan menandatangani watikah pembubaran untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Terdahulu, khabar angin mengenai PRN terbabit telah bertiup kencang, berikutan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Pada masa itu, DUN Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), PPBM (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.