Pemimpin PH Jadikan Masalah Rakyat Bahan Politik, Konon Cakna Jadi Hero Tapi Tiada Tindakan

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) iaitu Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir agar janganlah sekadar mengambil aduan rakyat tetapi tiada tindakan.

Beliau berkata demikian ekoran isu pengemaskinian perjanjian sewaan bagi pengecualian sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang dijadikan ‘bahan’ politik oleh Ahli Parlimen Johor Bahru yang kononnya cakna dan menjadi ‘hero’ mahu menyelesaikan masalah berbangkit di kawasan perumahan tersebut.

“Sekadar mewar-warkan di media sosial, menggambarkan seolah-olah anda mengambil tahu semua perkara, sedangkan tiada langsung tindakan untuk berjumpa pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu ini. Bak kata orang ‘cakap memang senang, tapi kerja pun tak jalan’.

“Jadi, saya harap isu ini tidaklah lagi dipolitikkan atau dijadikan bahan bagi menyerang kerajaan yang selama ini mengambil tahu dan sentiasa mahu membantu rakyat terutama yang masih terkesan dengan pascapandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Terdahulu beliau telah bertemu dengan penduduk di PPR Sri Iskandar, PPR Sri Stulang dan RSK Larkin untuk mendapatkan maklumat dan mendengar sendiri dari penghuni di sana.

“Ternyata isu ini cuba dieksploitasi pihak tidak berkenaan dengan menjadikannya satu ‘serangan’ kepada pihak kerajaan.

“Berdasarkan temubual dan data yang saya sendiri ambil daripada pertemuan ini, sebanyak 960 unit iaitu 88% di PPR Sri Iskandar sudah mengambil borang untuk pengemaskinian perjanjian. Di PPR Sri Stulang pula, sebanyak 1,500 unit (87%) sudah mengambil borang sama, manakala lebih 1,000 unit di RSK Larkin sudah membuat perkara yang sama.

“Ini menunjukkan hampir kesemua penduduk di semua kawasan penempatan ini bersetuju dan mahu melakukan proses pengemaskinian perjanjian, cuma terdapat dua perkara yang berbangkit iaitu kebanyakan penduduk mahu meminta tarikh akhir penghantaran borang pengemaskinian perjanjian itu yang tamat pada 22 Februari dilanjutkan seluruh Johor, selain mengkaji semua dokumen yang perlu diberikan atau disertakan bersama borang berkenaan.”

Justeru, beliau mengambil maklum dua perkara dibangkitkan ini dan telah ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Bahagian Perumahan dan Pejabat Menteri Besar untuk bertemu dengan Menteri Besar bagi mengutarakan dua permasalahan disuarakan penduduk.

“Apa yang saya cadangkan adalah merayu dan memohon kerajaan mengkaji serta menyemak semula jumlah dokumen yang diperlukan supaya lebih memudahkan penduduk selain mendesak menangguh atau menunda tarikh akhir penghantaran borang pengemaskinian perjanjian kepada satu tarikh baharu bagi memberi ruang kepada penduduk menyelesaikan sebarang isu lain seperti tunggakan bayaran sewa dan sebagainya.

“Saya juga mencadangkan ia ditangguh kepada Disember 2022 dan diharapkan perkara ini mendapat pertimbangan SUK Bahagian Perumahan dan Kerajaan Negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.