Kestabilan Kerajaan Penting Untuk Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat – Majlis Profesor Negara

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berpandangan kestabilan sesebuah kerajaan amat penting untuk meneruskan pembangunan yang telah dirancang bagi kesejahteraan rakyat.

Katanya, akibat ketiadaan kestabilan politik dan kedudukan majoriti yang kukuh, pelan-pelan pembangunan yang digariskan tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Mengambil contoh dalam konteks negeri Johor, katanya jelas kelihatan apabila pelan pembangunan negeri yang dirancang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak diteruskan oleh kerajaan selepasnya.

“Ralat dalam hati apabila sebuah kerajaan tidak melaksanakan program-program yang begitu cantik pada 2017 semasa Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar) melancarkan Johor Berkemajuan dengan perancangan yang cukup cantik untuk sepuluh tahun.

“Semasa itu tiada kerajaan negeri yang mempunyai perancangan komprehensif seperti itu. Saya nampak Johor akan menjadi negeri maju, terkehadapan berbanding federal dari segi pencapaian dan perancangan,” katanya dalam satu diskusi ‘Peluang BN Di Johor’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam tadi.

Turut sama di dalam diskusi tersebut adalah Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad.

Tambah Prof Dr Raduan, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan pelan pembangunan di negeri tersebut adalah kerana mereka tidak mempunyai hala tuju dan dasar yang jelas di dalam membangunkan negeri walaupun ditunjangi mereka yang berpengalaman.

Seterusnya, beliau turut melahirkan kebimbangan pelan pembangunan yang dirancang oleh Menteri Besar sekarang Datuk Ir Hasni Mohammad akan menemui kegagalan disebabkan ketiadaan kestabilan politik.

“Itulah yang berlaku sekarang zaman Datuk Hasni. Datuk Hasni sudah melancarkan Pelan Pembangunan Mapan Johor Sepuluh Tahun. Saya rasa nasibnya (pelan pembangunan) akan sama dengan pelan Johor Berkemajuan.

“Apabila sebuah kerajaan cuba melaksanakan pembangunan yang dirancang dengan baik tapi tidak boleh dilaksanakan oleh sebab ‘bersuku-suku’ (berkongsi majoriti yang tipis),” katanya lagi.

Oleh kerana itu tambahnya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah satu keputusan yang tepat bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh.

“Kalau kita cintakan sebuah kerajaan yang kuat, kita cintakan satu pelan pembangunan yang boleh membina rakyat, inilah (PRN) yang kita tunggu-tunggu.

“Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 membenarkan untuk mengadakan pilihan raya. Perlu terima keadaan bahawa kedudukan yang ada sekarang dan pulangkan semula kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Prof Dr Raduan juga mengulas bahawa rakyat akan mengukur kejayaan sesebuah kerajaan berdasarkan komitmen menunaikan janji-janji di dalam manifesto serta rekod perkhidmatan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.