BN Komited Laksana Kemajuan, Melaka Digital City Bakal Beri Manfaat Kepada Rakyat – Rais

MELAKA, 25 Jan – Usaha Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan terbukti sentiasa komited terhadap pembangunan dan kemajuan rakyat sebagaimana usaha Kerajaan Negeri Melaka untuk terus memperkasakan telekomunikasi di negeri berkenaan dalam menjadikannya ‘Melaka Digital City’.

Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online menyatakan kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha melakukan anjakan melalui polisi supaya ianya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negeri berkenaan.

“Alhamdulillah pagi semalam saya telah menghadiri ke mesyuarat Industri Telekomunikasi Negeri Melaka yang diadakan di sebuah hotel Ayer Keroh, Melaka. Ini adalah perbincangan yang lebih terperinci tentang pelan dan perancangan telekomunikasi yang bakal dibangunkan untuk mewujudkan negeri Melaka sebagai Melaka Digital City,” katanya.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput seterusnya menambah perkhidmatan telekomunikasi cukup penting dan ianya perlu diperkasakan dengan lebih menyeluruh supaya limpahan faedahnya dapat dinikmati oleh rakyat kelak.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk melakukan anjakan dasar dan polisi bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat disampaikan kepada seluruh rakyat dengan segera.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Luqman, Pengarah MCMC Melaka dan semua agensi lain yang hadir bersama untuk memberikan cadangan dan pandangan yang bernas bagi merealisasikan perancangan ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.