UMNO/BN Sedia Berdepan Cabaran… PRN Sebelum PRU15

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Sabtu lalu memberi laluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksana. Ini adalah manifestasi dalam kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang sedia berdepan cabaran kerana memerlukan mandat baharu daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat dan demi masa hadapan negeri.

Hal ini kerana BN mempunyai majoriti tipis yang menyebabkan kerajaan negeri sebelum ini berjalan berdasarkan ‘ihsan pembangkang’ sebagaimana kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Ternyata, apabila timbul isu UMNO/BN jawab dan mendepani realiti. Tidak biarkan berlama-lama ibarat luka menjadi kudis yang akhir sukar diubati. Apabila melarat bahagian yang terkesan kena dibuang. Ibarat kaki yang rosak dan busuk dek terkena kencing manis harus dipotong. Itu umpamanya apabila isu semakin besar sehingga membentuk persepsi jika gagal dibendung dan akhirnya merosakkan imej UMNO dan BN itu sendiri.

Kita tidak boleh lari dari sesuatu perkara dipolemikkan menjadi isu. Sebaik-baiknya kita bersiap sedia menangani sebarang kemungkinan yang bakal timbul. Namun yang lebih afdal ialah jangan dibuat sesuatu pekerjaan jika kita tahu ia akhirnya akan mengundang mudarat.

Cegah sebelum parah. Orang Inggeris kata “prevention is better than cure”, it is better to stop something before it happens instead of having to repair it or deal with its consequences after it has already been done.

Datuk Seri Najib Razak @ Bossku banyak belajar dari pengalaman PRU14. Sekarang beliau jawab semua isu dengan fakta yang tepat yang akhirnya memberikan pencerahan kepada khalayak. Ia setidak-tidaknya dapat mengendurkan sesuatu isu dari terus menjadi polemik. Almaklumlah sekarang suhu PRU sudahpun mula mencecah takat. Barangkali sudah ada pihak tertentu yang sengaja mengilhamkan sesuatu isu, plot, naratif.

Dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil isu beliau ambil langkah proaktif menjawab. Dia tahu – hari ini game dimainkan melalui MEDSOS. Bossku jelaskan banyak perkara. Isu Smart Tag, peri penting keperluan Universiti Antarabangsa luar yang patut dibangunkan di negara ini, isu KP SPRM, serangan media sosial terhadap BN yang kononnya gagal membangun negara selama 55 tahun memerintah berbanding DAP 14 tahun di Pulau Pinang, pengeluaran i-Citra KWSP, perihal kejatuhan ranking Malaysia sebagai salah satu tempat persaraan terbaik dunia, bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, isu FELDA yang dimanipulasi oleh DAP, hal pihak-pihak lain yang turut terpalit dengan 1MDB antara sekian banyak isu yang disentuh.

Banyak yang sudah dijawab. Bossku and Team dengan sabar dan bijaksana rungkaikan semua yang timbul melalui saluran popular beliau Facebook @ META serta lain-lain medium yang juga popular di kalangan pengguna media sosial.

Seluruh ahli UMNO yang berjuta jumlahnya di pelusuk negara kena menjadi jentera penerangan yang gigih dan berkesan serta harus bertindak seperti Bossku. Bukan sahaja menangkis isu yang ditimbulkan dengan maklumat yang betul malahan memulangkan pula paku buah keras kepada pihak lawan. Kadang-kadang pertahanan yang terbaik adalah menyerang. Barulah boleh dipanggil machinery yang efektif.

Semua channel media sosial seperti FB, twitter, Insta, youtube, blog harus terus dipelopori jadi alat sebaran yang pantas dan berkesan. Jangan lupa juga pada medium konvensional seperti gebang-gebang di kedai kopi, sembang kari di restoran mamak, bisik-bisik pada kaum keluarga, rakan taulan, saudara mara, sahabat handai dan masyarakat.

UMNO dan BN tidak lagi boleh diperkotak-katikkan seperti dalam PRU14 yang lepas apabila pihak lawan dengan semburan fitnah berbisa, dakyah, pembohongan, half-truth, janji palsu dan janji manis berjaya memperdayakan masyarakat Malaysia yang layak mengundi, membenci kerajaan Barisan Nasional.

Kesannya amat besar. BN dengan trek pencapaian cemerlang mentadbir negara buat kali pertamanya tumbang. Walau jenteranya cuba menangkis dan bertahan akhirnya kota dan benteng Barisan Nasional roboh jua. Natijah dari itu negara dilanda malapetaka. Musibah menimpa dan rakyat jadi sengsara.

Seperti filem lama yang diulang siar. Begitulah keadaan semasa politik negara. Sekarang dah timbul balik ura-ura dan gerakan mengajak rakyat untuk memprotes itu dan ini yang nampaknya menuju kea rah membina persepsi negatif. Siri-siri rapat umum hendak dianjurkan kembali seperti perhimpunan baju kuning tempohari. Kali ini mereka sasarkan orang-orang muda.

Barangkali modus operandinya adalah untuk menggembeleng seluruh kekuatan orang muda untuk untuk bersama-sama mereka. Sementelahan pula kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya telahpun memutuskan pendaftaran automatik pengundi 18 tahun ditetapkan pada 16 Januari 2022.

Barang perlu diingat kini jumlah pengundi dari Blok 18 ke 21 tahun yang layak mengundi sekiranya PRU diadakan adalah seramai 1.2 juta orang dari sejumlah 5.8 juta orang pengundi baru yang didaftarkan. Manakala sejumlah 4.6 juta orang pula terdiri dari pengundi berusia 21 tahun ke atas.

Oleh itu orang-orang UMNO dan BN kena pastikan yang minda anak-anak remaja di negara ini tidak dikorupkan dengan penyelewengan fakta. Kena pastikan yang mereka tidak terjerumus menjadi golongan ‘rebel without a cause’ atas acuan pihak berkepentingan. Orang muda mesti jadi golongan yang boleh menilai baik buruk sesuatu perkara. Mereka perlu dapat bimbingan dari kalangan senior yang rasional dalam menentukan hala tuju politik yang lebih baik di negara ini.

Bahang pilihan raya ke 15 dah terasa hangatnya. Sana sini banyak orang bertanya bila nak pilihan raya? Semua orang UMNO dan BN kalau mahu mendapat hasil tuaian yang memuaskan kena bergerak dan bertindak sebagai satu team yang solid ampuh. Sentiasa jadikan episod ngeri PRU14 sebagai iktibar perjuangan.

BEN JONAID

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.