Kerja Kuat, Gigih Supaya BN Berjaya Kembali Terajui Negeri Johor – Khaled

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan bahawa perkara yang paling penting pada ketika ini adalah usaha keras bagi memastikan negeri Johor kembali diterajui Barisan Nasional (BN).

Dalam hal ini, beliau memaklumkan keputusannya yang diambil untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat tanpa teragak-agak.

“Keputusan ini saya buat tanpa teragak-agak dan dengan senang hati. Kita semua mesti kerja dengan kuat dan gigih supaya BN berjaya kembali menerajui negeri Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu ketika ditemui Berita Harian memberitahu beliau tidak berhasrat menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini.

Khaled juga meletakkan kepercayaan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad untuk menerajui negeri ke arah pembangunan yang lebih baik.

“Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor. Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar,” katanya.

Terdahulu Hasni pada Sabtu diterima menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene yang berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.

Beliau menerusi sidang media selepas itu memaklumkan mandat rakyat diperlukan kerana sebelum ini kerajaan negeri hanya ‘bergerak’ atas ihsan pembangkang terutama apabila untuk membuat sebarang keputusan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.