Tak Percaya Parti Sendiri Punca Kaitkan Kluster Mahkamah Dengan PRN? – Shahril

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan meluahkan kekesalan dengan dakwaan daripada segelintir pihak yang mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kluster mahkamah.

Katanya sedangkan perkara itu tidak ada kaitan malah semua pihak tahu mengenai pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

“Bukankah pilihan raya suatu amalan paling asas demokrasi dan justeru konsep pemisahan kuasa itu sendiri yakni memberi mandat rakyat kepada badan legislatif? Tiada kena mengena langsung dengan mana-mana kes mahkamah.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah masuk gelanggang dalam hampir kesemua Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN sebelum ini… tidak pula dikaitkan. Kenapa tiba-tiba sewaktu perlu berdepan PRN Johor sahaja dakwaan janggal seperti ini dikeluarkan? Melainkan sudah mula ada kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu malah menambah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad sendiri telah menjelaskan bahawa kerajaan negeri berada dalam keadaan rapuh dan tidak stabil sebagai sebab utama PRN ini bakal diadakan.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. Itulah antara faktor utama yang telah dipertimbangkan oleh semua pihak, baik pihak Istana Johor, UMNO Johor, dan kerajaan negeri sebelum mengambil keputusan untuk membubarkan DUN Johor.

“Kita terima keputusan ini dan berharap pilihan raya ini dapat memberi mandat baharu untuk sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan akan terus berkhidmat untuk rakyat,” ujar beliau.

Sementara itu, jelas Shahril lagi seperti PRN sebelum ini semua pihak perlu sentiasa mengingatkan bahawa tidak kira sama ada kestabilan atau kuasa yang dicari jangan sesekali merosakkan segala usaha dalam memulihkan negara berikutan pandemik COVID-19.

“UMNO juga yakin dengan institusi seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya dan lain-lain, akan terus menyeimbangkan kemudahan urusan rakyat bagi memenuhi hak demokrasi dan keselamatan rakyat secara umumnya,” katanya. – UMNO Online