PRN Johor Langkah Terbaik Pulangkan Mandat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan kelak sebagai memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang diharapkan iaitu stabil dan kukuh untuk meneruskan pentadbiran di negeri ini.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata mandat ini adalah satu keperluan malah tindakan mengadakan pilihan raya ini bukan satu bentuk ‘tamakkan kuasa’ atau ‘menjaga kluster mahkamah’ seperti tohmahan sesetengah pemimpin politik yang dangkal.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri mengambil maklum perkembangan terkini politik di mana Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi terbubar semalam selepas mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

“Ini adalah satu usaha demokrasi yang diperlukan bagi mencari sebuah kerajaan yang kukuh untuk terus mentadbir. Diharapkan rakyat Johor dapat membuat satu keputusan yang tepat demi memastikan Johor terus memacu kejayaan pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, sebagaimana dijelaskan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam sidang media semalam, yang menyatakan bahawa PRN wajar diadakan berikutan kedudukan kerajaan negeri yang bergerak atas ‘ihsan pembangkang’.

Jelas beliau ini adalah realiti yang harus diterima dan sememangnya perkara itu tidak patut berlaku di negeri Johor yang memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kuat demi memastikan perancangan di negeri selatan tanah air ini dapat dipergiat dan berjalan lancar.

“Contoh yang diberikan Pengerusi Perhubungan UMNO semalam adalah satu daripada situasi yang menunjukkan dengan jelas kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil iaitu di mana insiden pembangkang m yang membawa rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang DUN Johor selepas Belanjawan Johor 2022 dibentangkan, November lalu.

“Undian dilakukan menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27 sama selepas undian di DUN dilakukan, namun Speaker DUN, Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak kepada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27, bagi membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung.

“Jelas insiden ini membuktikan kerajaan Johor amat tidak stabil dan berada atas ‘ihsan pembangkang’ sebagaimana diperkatakan m Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor semalam,” ujar beliau.

Tambah Mohd Hairi, pihaknya juga sedar rakyat kini masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan sesetengahnya sedang mengharungi situasi pasca banjir yang menyukarkan.

“Namun sebagai sebuah parti politik, kesedaran untuk mendapatkan kerajaan yang stabil juga penting bagi memastikan segala bentuk bantuan dan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat dapat direncana dengan berkesan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.