Bubar DUN Johor Tiada Kaitan Dengan Kluster Mahkamah – Razlan
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menempelak Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengaitkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan kluster mahkamah.
Katanya, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab sedangkan sebab utama Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kerana kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
“Langsung tiada kaitan dengan mahkamah, rakyat pun pening cubaan Wan Saiful mahu kaitkan dengan kluster mahkamah yang terjadi adalah pemergian bekas menteri besar kerahmatullah dan telah menyebabkan majoriti amat tipis di dalam kerajaan Johor.
“Pelabur tidak mahu masuk melabur, keadaan DUN ibarat telur di hujung tanduk dan pelbagai isu berbangkit berkenaan dasar kerajaan. Wan Saiful sudah hilang modal, tahu parti beliau akan menerima nasib yang sama seperti di PRN Melaka.
“Untuk kita membina keyakinan semua pihak, dalaman dan luar negara, pelabur serta perniaga, kerajaan perlu stabil dan meyakinkan, itu lah isu paling penting, bagi memberi semua kehidupan yang sediakala kepada rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata tindakan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) adalah bertujuan memberikan semula kestabilan dan kemakmuran kepada kehidupan rakyat.
Tambah Razlan rakyat tidak boleh sekali lagi terjerumus dalam kancah emosi yang melampau sehingga mendapat kerajaan yang gagal seperti yang terjadi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
“Dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan campur tangan isu hakim juga satu perkara yang separa benar, kenapa beliau tidak menyatakan semua ini dengan jelas, permintaan menukar pendakwa raya bukan satu rahsia dan dibuat secara rasmi… hakim juga yang akan menentukan keputusan.
“Sikap menyemai kebencian tanpa fakta sudah lama dimainkan oleh Muhyiddin dan Bersatu, rakyat hari ini lebih bijak menilai dan tidak akan dibodohkan sekali lagi dengan permainan emosi,” tegas beliau. – UMNO Online