KWSP: UMNO Kekal Konsisten Bawa Suara Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian untuk parti kekal membawa perjuangan seperti dikehendaki rakyat untuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, isu yang dibawa ini bukan datangnya daripada parti mahupun kepimpinan sebaliknya mereka hanya membawa suara rakyat yang mahukan simpanan tersebut kerana golongan ini adalah terjejas pendapatan kesan daripada pandemik COVID-19 serta pascabanjir.

“Saya sangat istiqomah dan konsisten sebagaimana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperjuangkan isu ini.

“Pergerakan Pemuda dan Puteri juga begitu… ini berlaku kerana ianya tidak datang daripada kami tapi dari suara akar umbi yang mana kita ini menjadi lidah penyambung untuk disampaikan kepada kerajaan.

“I-citra ini cukup penting terutamanya selepas pandemik kini pula banjir, saya dihubungi oleh ramai kawan-kawan yang menjadi usahawan kelas menengah mengatakan bahawa mereka menunggu notis kebankrapan kerana tidak mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman-pinjaman,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada program Jawab, Saya Tanya!: Eksklusif Bersama Presiden UMNO – Barisan Nasional Memimpin Kestabilan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook NR Channel TV, malam tadi.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, beliau juga memahami penerangan yang diberikan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tempoh hari namun pada pandangan dirinya situasi pada ketika ini adalah genting kerana ada dalam segelintir rakyat yang berhadapan dengan keperluan mendesak untuk mendapatkan wang secara tunai.

“Jadi tentunya UMNO sendiri memperjuangkan perkara ini, saya tidak akan jemu membangkitkan isu ini walaupun menteri kewangan telah memperjelaskannya dan saya memahami apakah kekangan yang dihadapi oleh beliau dan Akta KWSP sendiri.

“Namun keutamaan situasi sekarang ini mesti diberikan apa yang disebut sebagai menyelesaikan masalah sekarang jangan tunggu ketika umur persaraan.

“Sebab mereka perlukan sekarang kerana ianya merupakan keperluan yang sangat mendesak dan tentunya dengan pelbagai pendekatan yang kita akan lakukan insya-Allah apa yang disuarakan oleh rakyat ini akan kami teruskan,” ujar beliau.

Terdahulu, Pemuda UMNO antara yang terawal menyuarakan berkaitan pengeluaran KWSP sejak 30 Okt 2020 dengan mendesak agar ianya dapat dilaksanakan untuk membantu rakyat yang kebanyakannya terjejas dari sudut ekonomi.

Sementara itu, menerusi dapatan kaji selidik awam yang dilakukan baru-baru ini mengenai pengeluaran KWSP yang dijalankan oleh Sekretariat Pembangunan Dan Penyelidikan Pemuda UMNO mendapati jumlah responden yang bersetuju adalah tinggi dan masing-masing berharap kerajaan memandang serius berkenaan isu ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.