RFID: Rakyat Bukan Bahan ‘Try And Error’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoal kelemahan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang masih berlaku sedangkan sistem tersebut sudah melalui tempoh percubaan bermula September 2018.

Katanya, kelemahan itu sangat ketara kerana ramai pengguna berdepan dengan situasi melihat kenderaan menggunakan RFID berdepan masalah berkenaan.

“Persoalannya apakah permasalahan itu tidak dapat dikenal pasti sepanjang tempoh percubaan dan diperbaiki sebelum dilaksanakan secara meluas? Jika benar pemilik kenderaan yang tersilap memasang pelekat, maka penyaluran maklumat kepada pengguna lebuh raya tidak sempurna.

“Perkara seperti ini perlu dielakkan daripada berulang kerana rakyat tidak sepatutnya menjadi subjek try and error dan keuntungan jualan pelekat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, penggunaan RFID ini tidak akan timbul jika ia berfungsi seperti diharapkan dan tidak menyebabkan kesesakan yang teruk.

Katanya ini kerana seperti yang sering diwar-warkan teknologi tersebut sepatutnya memudahkan serta memberi lebih keselesaan kepada orang ramai

“Namun hasilnya berbeza. Malah berisiko menjejaskan produktiviti tenaga kerja apabila ramai warga kerja akan terkandas dalam kesesakan lalu lintas saban hari. Teknologi itu dianggap kecundang disebabkan sistem RFID gagal mengesan atau membaca pelekat yang ditampal pada kenderaan pengguna lebuh raya.

“Menyebabkan banyak kenderaan terpaksa mengundur sebelum memasuki semula lorong RFID untuk membolehkan palang plaza tol dibuka,” ujar beliau.

Terdahulu, Mesyuarat Kabinet pada Rabu memutuskan untuk pengguna lebuh raya perlu diberi pilihan sama ada mahu menggunakan RFID, Touch N Go (TnG), atau SmartTAG untuk bayaran caj tol.

RFID sebelum ini dimulakan secara berperingkat di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada 15 Januari lalu.

Bagaimanapun ianya mengundang kemarahan pengguna lebuh raya terbabit apabila terpaksa berdepan kesesakan teruk di Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Bandar Seri Putra kerana kegagalan sistem tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.