PRN Penting Demi Kembalikan Kestabilan Politik, Perkasa Institusi DUN Johor 

Desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan dalam tempoh terdekat semakin hangat diperkatakan banyak pihak.

2. Hal ini kerana dengan perbezaan hanya 1 kerusi antara Kerajaan dan Pembangkang rentetan daripada kematian ADUN Kempas, Allahyarham YB Dato’ Osman Sapian baru-baru ini.

Ketidakstabilan Politik Di Johor

3. Ketidakstabilan politik di Johor bukanlah satu perkara yang baharu. Sejak YAB Dato’ Hasni Mohammad mengambil alih pucuk pimpinan negeri selaku Menteri Besar Ke-3 pasca PRU-14, pelbagai isu telah timbul sama ada secara sedar atau tidak.

4. Pertama, kerajaan Johor yang memerintah hari ini dikuasai oleh dua (2) parti induk yang berbeza iaitu Barisan Nasional dengan 17 Kerusi , dan Perikatan Nasional dengan 12 kerusi (kini 11 kerusi). Sehingga hari ini, kita sendiri tidak pasti sama ada Kerajaan Negeri Johor ini adalah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Kerajaan Barisan Nasional (BN).

5. Kedua, sepanjang tempoh pemerintahan YAB Dato’ Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Ke-18, beliau bukan sahaja diserang oleh ADUN Pembangkang, tetapi juga sering diugut secara terbuka oleh ADUN-ADUN Kerajaan terutamanya daripada parti Bersatu untuk menarik sokongan terhadap beliau dan kerajaan negeri.

6. Ketiga, Speaker DUN Johor adalah daripada Pakatan Harapan. Dengan majoriti 28-27, kedudukan kerajaan negeri sering berada dalam keadaan bahaya. Sebagai contoh, pada pembentangan Belanjawan 2022 yang lalu, ADUN Panti (Positif Covid) dan ADUN Kempas (Sakit)  tidak dapat hadir dan menyebabkan undi menjadi 27-27 dan memberi ruang kepada Speaker Dewan untuk menjadi  undi penentu. Pastinya, jika tidak dengan titah DYMM Sultan Johor pada pembukaan persidangan DUN sebelum itu, pastinya DUN Johor telah hilang majoriti pada tempoh tersebut.

7. Keempat, jika ketidakstabilan politik ini terus berlaku, pastinya ia akan menganggu gugat kemasukan pelabur ke negeri Johor kerana tiada pelabur asing yang akan berminat untuk melabur di Johor jika situasi politik di negeri adalah tidak stabil.

8. Kelima, dengan ketidakstabilan politik ini, ia  secara tidak langsung akan menyebabkan kerajaan negeri Johor tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada pentadbiran kerana terlalu sibuk berpolitiking. Ini tidak termasuk untuk memenuhi tuntutan daripada ADUN-ADUN pembangkang seperti untuk menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD), peruntukan sama rata, dan lain-lain.

9. Dan yang terakhir, kita juga boleh mengambarkan bahawa Kerajaan Johor pada hari ini tidak mampu untuk mengubal apa-apa enakmen baharu, mahupun meminda enakmen-enakmen yang mungkin lapuk dan perlu diperbaharui dengan kadar segera kerana tiada sokongan majoriti dan pada akhirnya akan menjadikan fungsi utama DUN Johor sebagai penggubal undang-undang tidak lagi dapat dilaksanakan.

Bubar DUN Johor Bermakna Tidak Prihatin Rakyat?

10. Hujah sesetengah pihak yang menyatakan bahawa dengan membubarkan DUN Johor bermaksud kerajaan tidak prihatin rakyat adalah tidak tepat, sengaja menyeleweng fakta dan tidak melihat kepada status quo semasa.

11. Jika DUN Johor dibubarkan, kerajaan sedia ada pimpinan YAB Dato’ Hasni Mohammad akan terus menjadi  “caretaker goverment” dan menjalankan tugas-tugas kerajaan dengan kuasa-kuasa sementara yang diperuntukkan sehingga pilihanraya negeri diadakan.

12. Oleh kerana Belanjawan Johor 2022 telah diluluskan, maka peruntukkan yang telah diluluskan akan disalurkan kepada agensi kerajaan yang terlibat, ia langsung tidak merencatkan sebarang urusan rakyat untuk mendapatkan bantuan-bantuan yang sepatutnya.

13. Selain itu, inilah juga masanya agar mandat diberikan kembali kepada rakyat untuk memilih kerajaan pilihan mereka setelah ‘ditipu’ oleh manifesto kayangan  Pakatan Harapan pada PRU-14.

Kuasa Membubarkan DUN Johor

14. Apa-apapun, kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ini terletak  dibawah Perkara 23 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) yang menyatakan bahawa DYMM Sultan Johor mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN Johor.

15. Perkara 23 (2) tersebut perlu dibaca bersama Perkara 7 (1) Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa DYMM Sultan Johor dalam menjalankan fungsinya perlu bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. (“State Executive Council”)

16. Bagaimanapun, Perkara 7 (2)(b) turut menyatakan bahawa DYMM Sultan Johor mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak memberi izin ke atas permintaan untuk membubarkan DUN tersebut.

Kesimpulan

17. Pada akhirnya, terserah kepada kebijaksanaan YAB Dato’ Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor sama ada akan menasihati DYMM Sultan Johor untuk menbubarkan Dewan Undangan Negeri Johor atau sebaliknya.

18. Jika tanya kepada saya, saya akan jawab “Ya”, DUN Johor perlu dibubar untuk beri laluan kepada PRN Johor bagi mengembalikan kestabilan politik dan memperkasa Institusi DUN Johor.

Ahmad Solehin Abd Ghani
Peguam

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.