Antara BN, PH, PN… Penilaian Terbaik Tentukan Kerajaan Pada PRU15- UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Presiden Kelab UMNOSiswa, Ahmad Al-Mubarak Mohamed Kunyi mengharapkan pengalaman berharga yang dikecapi oleh rakyat khususnya orang muda pascapilihan raya umum (PRU) menjadi titik penilain sejauh mana perubahan yang ingin dikecapi menjadi perkara sebaliknya.

Jelas beliau kesannya boleh dilihat sehingga ke hari ini apabila bukan sahaja keadaan politik negara tidak stabil malah jauh lebih daripada itu segala apa yang dijanjikan penghujungnya orang muda tidak dapat merasai semua tawaran yang dilontarkan sebelum PRU lalu.

“Jadi pengalaman ini cukup baik untuk rakyat secara keseluruhan dan orang muda khususnya untuk menilai… PRU-14 mungkin ada rasa ingin melakukan perubahan dan saya tidak salahkan sesiapa termasuklah orang muda kerana itu adalah pilihan yang kita buat pada waktu dan ketika itu.

“Sebab itulah perlu saya ingatkan apabila tibanya PRU15 atau tidak kiralah Pilihan Raya Negeri (PRN) dan sebagainya, kita perlu ambil peluang untuk tentukan siapa yang kita harapkan untuk menerajui negara kita, negeri kita dan siapakah pemimpin kita.

“Kita sendiri yang akan tentukan hala tuju dan masa depan generasi muda hari ini kerana kalau kita silap memilih pemimpin ianya akan memberi kesan kepada generasi  akan datang. Tidak kiralah daripada sudut mana sekalipun termasuklah peluang pekerjaan mahupun kemajuan atau pendidikan negara, ianya akan memberi kesan keseluruhan sebagaimana kita boleh lihat sekarang apabila ketidakstabilan politik berlaku yang berpunca daripada PRU14,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Wacana anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang disiarkan menerusi Facebook Live UMNO-Online, di sini, malam tadi. Wacana berkenaan mengupas tajuk ‘Orang Muda dan Politik Wayang’ dengan dihoskan Mohd Saiful Mohd Sahak.

Kata Ahmad lagi, orang muda sudah merasai sepanjang pemerintahan UMNO dan BN sebelum ini yang cukup jelas dasarnya, bentuk ekonominya dan pelbagai perancangan lain untuk keseluruhan, namun sehinggalah PRU14, selepas itu macam-macam perkara berlaku dan pelbagai isu lain timbul.

“Kalau dulu PH boleh janjikan macam-macam, seperti soal PTPTN, pendidikan percuma, janjikan peluang pekerjaan satu juta… tol tetapi sehingga ke hari ini masih ada lagi tol dan sebagainya dan hakikatnya kita tidak pernah merasai perkara berkenaan jadi realiti.

“Sebab itu saya sebutkan orang muda dah sedar. Dulu saya masih ingat lagi saya turun satu demonstrasi bersolidariti bersama mahasiswa di KL ini berkenaan kenaikan yuran. Itu satu contoh yang saya boleh berikan dan begitulah juga dengan contoh-contoh yang lain seperti penurunan harga minyak dan lain-lain lagi,” tambahnya.

Dalam pada itu Ahmad seterusnya percaya secara umumnya UMNO dan BN mempunyai ‘track recordnya’ yang tersendiri dan perkara berkenaan dapat dilihat sebelum dan pasca PRU14.

Katanya politik UMNO dan BN adalah untuk memperjuangkan rakyat dan ianya konsisten walaupun pada waktu BN mengalami kekalahan pada PRU yang lalu.

“Masa BN menjadi kerajaan sentiasa ‘service’ kepada rakyat. Rekod memaparkan ianya cukup cemerlang dan jika nak dibandingkan dengan PH dan PN, BN jauh lebih ke depan dari sudut perkhidmatan iaitu ‘service’ kepada rakyat.

“Pasca PRU14, kita dapat lihat pula bagaimana UMNO dan BN konsisten memperjuangkan isu-isu rakyat, memperjuangkan hak dan kebajikan sepanjang PH memerintah dan sehinggalah PN menerajui negara. Malah hingga ke hari ini pun walaupun Perdana Menteri daripada UMNO parti berkenaan masih lagi bersuara jika ada isu-isu yang perlu diperjuangkan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.