RFID: Puteri UMNO Gesa Ambil Langkah Cari Penyelesaian Terbaik

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan memohon seperti PLUS, Touch n Go dan semua yang berkaitan mengambil langkah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang kurang lancar sebelum ini.

Beliau berkata demikian berikutan banyak rungutan rakyat tentang lorong RFID.

“Nampak masih ramai belum bersedia untuk betukar terus daripada kaedah ‘sentuh’ atau ‘SmartTag’ seperti sebelumnya kepada sistem ini.

“Ada yang mengalami kesesakan lebih 1 km diwaktu puncak. Ada yang terpaksa ‘reverse’ kerana palang tidak terbuka.

“Kita dibekalkan dengan RFID yang sudah lapuk teknologinya kerana ianya terbukti terlalu perlahan untuk membaca jika dibandingkan dengan sistem di negara jiran kenderaan tidak perlu berhenti atau perlahan ketika melalui plaza tol,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya.

Jelas Zahida, rakyat tidak menolak pembaharuan sistem, tapi ia mestilah berfungsi sebagai pemudah, bukan menambah susah.

Terdahulu PLUS mengakui kelemahan RFID yang tidak berfungsi dengan baik antara punca kesesakan berlaku di beberapa plaza tol PLUS dan pihaknya mengambil maklum masalah berkaitan sistem imbasan yang tidak berfungsi dengan elok sehingga menyebabkan palang tidak dibuka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.