Perancangan Menyeluruh Penting Untuk Rakyat, Rais Komited Laksana Amanah

KUALA LUMPUR, 20 Jan – EXCO Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin melahirkan komitmen bersama sekretariatnya untuk menjayakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dalam usaha memastikan segala perancangan yang telah diatur dapat dilaksana.

Jelasnya tumpuan berkenaan adalah usaha memperkasa serta menjayakan perancangan ekonomi yang merangkumi Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari sehingga tahun 2023.

“Semalam bermulanya Konvensyen Hala Tuju Perancangan Pembangunan Melaka dan Sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bersama Kerajaan Negeri Melaka.

“Inisiatif ini dilaksanakan oleh kerajaan Melaka bagi memastikan perancangan dan gerak kerja dalam mencapai misi ‘Melaka Rumahku Maju Jaya’ berjalan lancar.

“Malah pihak kerajaan sangat optimis dalam merealisasikan agenda kelestarian pembangunan negeri selaras dengan slogan ‘Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia’,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, kerjasama dan komitmen pelbagai pihak tentunya amat dialu-alukan malah sentiasa seiring dengan perancangan yang diatur supaya ianya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta negeri Melaka itu sendiri.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri Melaka atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya bagi mengetuai Flagship Ke-7 iaitu Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka.

“Insya-Allah saya bersama sekretariat yang berkaitan akan menggembleng tenaga bagi mencapai matlamat yang ingin dikecapi. Pelbagai perancangan ekonomi bakal dilaksanakan yang merangkumi Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari sehingga tahun 2023. Semoga segala perancangan akan dipermudahkan oleh Allah SWT,insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.