PBT Perlu Selesaikan Masalah Longkang Tersumbat, Elak Banjir Kilat Berulang – MB Perak

IPOH, 20 Jan – Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu turun padang dan mengambil langkah sewajarnya kepada masalah longkang tersumbat, sebelum banjir kilat berlaku di kawasan berisiko sekali gus memberi kesan kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tindakan proaktif itu juga menuntut kebersamaan masyarakat dalam memastikan saluran longkang mengalir dengan baik tanpa sebarang halangan khasnya ketika musim hujan di negeri ini.

“Saya sudah beberapa kali sebut terutama PBT, kaunselor, pihak penguatkuasa supaya turun padang sebelum banjir supaya tiada ruang untuk longkang tersumbat seperti kayu kecil dihanyutkan dan menutup ruang yang ada.

“Jadi kalau ini (longkang tersumbat) diatasi, boleh atasi masalah banjir kilat. Kerana itu kita kena proaktif, kena lebih sikit, khasnya apabila musim hujan. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Pengaliran Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan orang ramai pun kena ambil tindakan. Jangan tunggu MBI juga kalau nampak ada halangan di longkang, kena bersama-sama (alihkan),” katanya sempena perutusan tahun baru bersama penjawat awam negeri, hari ini.

Dilaporkan beberapa lokasi di pusat bandar raya itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat sejak lewat petang semalam, sehingga air dianggarkan naik sehingga setengah meter di beberapa di kawasan melibatkan Taman Perpaduan, Taman Cempaka, Bandar Seri Botani, Tambun, Greentown, serta berhampiran Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Ipoh iaitu di Stadium Badminton.

Terdahulu di majlis tersebut, Saarani berkata kutipan hasil kerajaan negeri tahun lepas telah meningkat sebanyak RM998.46 juta dan melebihi pencapaian kutipan hasil keseluruhan tahun 2020 iaitu RM983.53 juta.

“Peningkatan ini adalah kerana beberapa faktor termasuk penerimaan pada bulan Disember daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) negeri, serta bayaran baki cukai tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) daripada Kerajaan Persekutuan yang dibayar secara berperingkat berjumlah RM48.6 juta sejak bulan November.

“Trend peningkatan ini dilihat bermula pada bulan Oktober di mana perkembangan positif berlaku selepas negeri Perak mula beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan diharapkan memberi petanda positif ke arah kutipan hasil yang lebih baik pada tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Saarani percaya, perkembangan ini memberi petanda positif ke arah kutipan hasil yang lebih baik pada tahun-tahun seterusnya, namun perlu merancang gerak kerja lebih awal selain memperkemas strategi kutipan hasil susulan situasi ekonomi yang masih tidak menentu dan penularan varian-varian baru COVID-19.

Bagi memantapkan usaha menjadikan Perak sebagai negeri mesra pelabur, Saarani berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan Hari Bersama Pelabur setiap bulan sekali untuk berinteraksi dan mendengar taklimat daripada pelabur-pelabur yang berminat menanam modal di negeri Perak.

“Saya yakin inisiatif ini bukan sahaja mampu menemukan kita dengan pelabur-pelabur yang berpotensi dan berkualiti, tetapi dapat menyediakan maklumat yang komprehensif, memberi khidmat nasihat serta bantuan kepada mereka yang ingin membuat pelaburan dan membuka operasi perniagaan di Perak,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.