Mesyuarat Khas Dewan Rakyat: Ahli Parlimen Pembangkang Cuba Alih Perhatian

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Dewan Rakyat pagi tadi kecoh seketika apabila beberapa ahli parlimen pembangkang dilihat cuba mengalih perhatian pada Mesyuarat Khas keempat Penggal ke-14 setelah bangkit mendesak agar dalam mesyuarat berkenaan turut dibahaskan skandal pemilikan saham oleh Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun kemudiannya mententeramkan suasana dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum memulakan sesi penerangan mengenai bencana banjir kemudiannya menjelaskan beliau mengeluarkan notis memanggil mesyuarat khas Parlimen hari ini kerana mendengar permintaan pembangkang supaya bagi membahaskan isu bencana banjir.

“Kalau kita masih ingat sewaktu persidangan, kita tambah satu hari untuk membincangkan Akta 342 pindaan, ramai dalam kalangan ahli-ahli Parlimen minta supaya kita membincangkan isu banjir.

“Sebab itu, saya menulis surat kepada Speaker untuk memohon perbincangan satu hari suntuk mengenai isu banjir kerana banyak kekeliruan telah disebut dan pelbagai tuduhan dilemparkan.

“Saya tidak menuduh sesiapa pun di sebelah sana walaupun Ahli Parlimen sepatutnya terlibat dengan banjir tapi saya tidak menyebut sekali pun dan tak pernah saya sebutkan…jadi saya tidak akan merujuk kepada sesiapa dan menerangkan perkara yang sebenar supaya rakyat faham apa yang berlaku ketika banjir,” katanya.

Katanya lagi, pagi ini, beliau akan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku supaya rakyat faham.

“Kerajaan menzahirkan perasaan dukacita terhadap bencana alam yang telah melanda negara bermula penghujung 2021 disebabkan taburan hujan yang luar biasa. Bencana banjir dan tanah runtuh telah berlaku dibeberapa buah negeri iaitu Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Sabah dan beberapa buah negeri yang lain,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.