Banjir: Ismail Sabri Akui Terdapat Kelemahan, Semua Pihak Perlu Main Peranan

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan bahawa pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama dari peringkat komuniti sehinggalah Kerajaan Persekutuan dengan semua pihak perlulah memainkan peranan.

Dalam menangani bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengakui bahawa kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan penting untuk pastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum.

“Perlu saya tekankan di sini bahawa banjir di Selangor merupakan suatu kejadian yang luar jangka dan berikutan kelemahan yang telah dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan.

“Umum mengetahui pada tempoh yang sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti negeri Pahang.

“Namun, disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran,” katanya ketika sesi penerangan berkenaan situasi bencana banjir penghujung tahun 2021 pada Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Jelasnya, kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik segera dalam pengurusan banjir termasuk pemahaman terhadap Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

“Masih terdapat kelemahan pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, selain pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan tanggungjawab masing-masing di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana seperti digariskan di bawah arahan itu.

“Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum.”

Ismail Sabri berkata pihaknya juga mengenal pasti kelemahan perintah dan kawalan dengan ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di negeri dan daerah, menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

Arahan MKN No. 20 adalah berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.