Persoalan PRN Johor … Bubar Atau Tidak Pastinya Sentimen Demi Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Persoalan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan atau sebaliknya terus belum terjawabt dan ianya makin hari makin kencang dibualkan dalam media sosial dan pelbagai medium lain.

Dalam hal ini, Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim melihat setiap hari di Facebook dan di Twitter pelbagai analisis tentang sama ada DUN Johor patut bubar atau tidak.

“Persoalan DUN Johor bubar ke tidak semakin hangat dan masih menimbulkan tanda tanya kepada semua. Bukan sahaja rakyat Johor tetapi pemerhati politik seluruh negara.

“Pelbagai penghujahan tentang keperluan DUN Johor dibubarkan, pastinya sentimen demi rakyat  menjadi hujah utama,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau, pengundi 18 tahun dan pengundi terdaftar secara automatik nampaknya akan boleh mengundi sekiranya PRN Johor berlaku dalam masa terdekat ini.

“UMNO Bahagian dalam Johor juga telah mula bermesyuarat memilih calon-calon untuk DUN di bahagian masing-masing. Seperti kita maklum, pindaan Perlembagaan UMNO telah menetapkan calon yang bertanding atas nama UMNO perlu sokongan 2/3 jawatankuasa UMNO Bahagian. Telah mula bergerak, ‘kerja-kerja’ melobi dalam ‘WhatsApp’ undi calon pilihan Ketua Bahagian atau undi Ketua Bahagian jadi calon.

“Pada masa yang sama, perlu dilihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun mewartakan data pengundi baru pada 15 Januari 2022 lalu. Apabila telah warta, maka nama telah layak hadir sebagai pengundi.”

Katanya, strategi memancing undi mereka ini pastinya tidak sama seperti strategi sebelum ini kerana perlu kaedah dan variasi baru dan calon yang dipilih juga perlu mengambil kira faktor pengundi 18 tahun ini.

“Waima begitu dalam gegak gempita segala orang bercakap soal PRN Johor, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad tetap kekal tenang menghadapi semua spekulasi. Sebab itu sejak siri satu telah saya katakan, beliau punya ketenangan dan bijaksana yang tersendiri,” ujarnya lagi.

Dilaporkan, khabar angin mengenai PRN Johor mula tersebar susulan kerajaan negeri hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lepas.

Semalam, Hasni dilapor berkata meskipun belum ada perbincangan mengenai mengadakan PRN Johor di peringkat UMNO Johor, pihaknya tidak pernah menolak keperluan untuk mengadakan PRN disebabkan faktor kestabilan kerajaan negeri yang kini mempunyai majoriti tipis. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.