Pihak Berwajib Jangan Leka Dengan Kenaikan Harga Barang – Mohamad Ali

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Kenaikan harga barangan seringkali diperkatakan oleh pelbagai pihak malahan ianya menjadi buah mulut kalangan pengguna dan masing-masing melontarkan keluhan mereka menerusi media sosial berkaitan harga barangan semasa hari ini.

Tidak terkecuali, hari ini perkara tersebut turut mendapat perhatian daripada Ketua UMNO Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang berpandangan pihak berwajib dan berkaitan perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Menerusi Facebooknya, beliau berkata rakyat yang hari ini terhimpit dengan pandemik COVID-19 terus menerus akan terbeban seandainya perkara berkenaan tidak dibendung serta tidak diambil langkah yang sepatutnya.

“Harga barang naik sangat mendadak sehingga rakyat sangat terbeban dengan kenaikkan harga barang. Pihak berwajib dan berkaitan perlu ambil tindak segera,” katanya.

Kata beliau lagi, kenaikan harga barang amat membebankan rakyat dan seharusnya pihak-pihak yang berwajib tidak leka di saat-saat rakyat sedang menderita.

“Rakyat sudah cukup terhimpit di kala pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas sehingga ke hari ini impaknya masih terasa.

“Kini datang pula kenaikan harga yang amat merungsingkan fikiran rakyat. Hidup makin melarat dan terbeban. Sekali lagi saya tekankan di sini agar pihak berkuasa perlu lebih proaktif tangani isu kenaikan harga barang ini. Jangan leka di saat rakyat sedang menderita,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.