Bersama Satu Hati Mendepani Waktu Sukar, Terus Berpadu Dan Bermuafakat Agar Kemakmuran Kembali

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama bersatu hati, bertabah dan bersabar mendepani waktu-waktu sukar.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, terus berpadu dan bermuafakat dengan penuh pengharapan agar kemakmuran serta kesejahteraan akan kembali seperti yang semua rindui.

“Banyak kekalutan sedang melanda negara daripada pandemik, bencana alam, kenaikan harga barangan sehingga kepada pertikaian antara agensi kerajaan.

“Keadaan ini sememangnya cukup merimaskan rakyat tatkala mereka masih berhempas pulas untuk bangkit daripada dampak buruk wabak COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, dugaan hidup sememangnya memeritkan, tetapi percaya bahawa setiap kesulitan pasti ada pengakhiran yang baik.

“Hati yang cekal mampu menangani segala kesukaran. Mungkin bukan hari ini, tetapi apabila tiba masanya kita tahu apa perlu dilakukan dan diperbetulkan.

“Yakinilah keteguhan sebuah negara bergantung kepada kekuatan jati diri rakyatnya. Bukan sahaja dalam aspek jasmani, tetapi juga rohani,” seru Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Tambahnya, bagi umat Islam kekuatan rohani diperoleh dengan bersujud kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-fatihah yang bermaksud:

“Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami minta pertolongan”. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.