UMNO Sampaikan Kehendak Rakyat, Tidak Benar Tuduh UMNO Mahu Hancurkan KWSP – Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keazaman UMNO untuk menjamin dan memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat tidak pernah terhenti kerana itulah kesalasilahan parti ini.

Ujarnya, pelbagai tohmahan dilempar terhadap UMNO disebabkan permintaan parti ini supaya rakyat yang memerlukan dibenarkan membuat pengeluaran wang akaun KWSP.

“Permintaan itu dituduh oleh seorang menteri kanan sebagai menghasut, manakala pemimpin pembangkang menuduh UMNO mahu menghancurkan KWSP.

“Fahamilah permintaan itu bukan permintaan politik UMNO, tetapi semata-mata berlandaskan permohonan dan keperluan semasa rakyat.

“Sila baca komen rakyat Malaysia di media sosial berhubung perkara itu. Apakah UMNO menyuarakan permintaan rakyat dikatakan sebagai politik?,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kewajaran permintaan itu juga sudah banyak kali diperjelaskan, malah Ketua Pemuda UMNO paling lantang menerangkannya.

“Maka tidak benar UMNO dituduh mahu mengambil kesempatan sedangkan jika permintaan itu dipenuhi, menteri bertanggungjawab juga mengaut pujian.

“Jika dibahas tentang mainan politik dalam perkara ini, menteri berkaitan juga boleh dikaitkan dengan motif politik seperti yang banyak pihak andaikan.”

Jelasnya, UMNO sebagai parti politik milik rakyat telah menyampaikan kehendak rakyat, namun ianya keputusan sebuah kerajaan campuran bersetuju atau menidakkan.

“Bagi parti politik keramat agama, bangsa dan negara akan terus sedaya upaya berusaha membantu rakyat dengan apa sahaja saluran atau sumber yang ada.

“Namun yang pasti keadaan adalah lebih mudah jika UMNO masih menjadi teras kerajaan, justeru jadikan segala yang disaksikan sebagai pedoman masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.