Selangor Di Bawah PH Gagal, MB Asyik Main Politik – Mutalif

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ternyata gagal mentadbir negeri dengan sebaiknya, kata Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Menurutnya, situasi ini dapat dilihat apabila bencana banjir melanda pada Disember lalu ekoran Amirudin menyalahkan pihak lain sedangkan beliau sendiri seolah-olah tidak mengetahui bidang kuasanya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Nampak jelas kegagalan PH di bawah Amirudin antaranya atas dasar tindakan yang lambat sebagai ketua negeri… tidak tahu apa tanggungjawab sedangkan dia adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri tapi dia berpolitik malah berdolak-dalik kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar.

“Sedangkan kita tahu setiap hujung tahun musim tengkujuh… hujan akan turun banjir akan melanda… sama juga dengan masalah air pun gagal diselesaikan asyik-asyik berlaku pencemaran.

“Kami ini pembangkang sudah tiga penggal tapi bila dipolitikkan apa sahaja isu akhirnya rakyat yang menderita,” ujar beliau ketika ditemui UMNO Online.

Sementara itu, beliau berharap rakyat dapat mengambil pedoman dengan sewajarnya selama 14 tahun pentadbiran PH di negeri ini yang seringkali tidak fokus dalam melakukan tadbir urus negeri.

“Kalau bagus bukan kita yang menilainya tapi biar rakyat yang melihat dan tentukannya. Kalau saya hendak bercakap tentang isu kegagalan PH ini satu hari pun tidak cukup.

“Tapi kegagalan kerajaan negeri Selangor saya minta kepada rakyat… maafkan boleh tapi jangan lupa Pilihan Raya Umum ke-15 kembalikan kepada Barisan Nasional insya-Allah kami akan mentadbir negeri dan Pusat lebih baik daripada yang ada pada hari ini.

“Politik itu bila kena pada masanya tapi soal kebajikan rakyat kita tidak boleh berpolitik. Kita beruntung dengan adanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Keluarga Malaysia menyalurkan bantuan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.