Musuh UMNO Terus Gigit Jari… Kesatuan Terus Terpahat Untuk Parti Bergerak Ke Depan – Razlan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata keutuhan dalam UMNO hari ini sudah pasti akan menyebabkan musuh parti berkenaan terus menerus menggigit jari.

Katanya, hakikat berkenaan dapat dilihat pada mesyuarat MKT malam tadi yang menjelaskan segala-galanya bahawa musuh-musuh UMNO yang mahu melihat perpecahan tidak dapat menimbulkan bibit-bibitnya kerana UMNO terus istiqamah dengan penyatuan.

“Alhamdulillah, banyak yang kami bincangkan semalam, apapun yang cuba dilakukan oleh musuh UMNO dengan harapan akan tersenyum apabila melihat perpecahan dan pertembungan dalam parti namun semua gigit jari apabila UMNO kekal dengan sikap meneruskan penyatuan.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus menyatakan dan mengingakan semua Ahli MKT untuk mendokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Dengan istiqamah, perjuangan Barisan Nasional (BN) akan terus diperkuatkan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi apapun yang berlaku kesatuan di dalam sesebuah parti memainkan peranan yang amat penting dan itulah yang diterjemahkan dalam UMNO hari ini.

“Penyatuan dalaman itu lebih penting dari semua bacaan politik, kuat parti, kuatlah negara. Peralihan corak kepimpinan negara dan parti, yang baharu dan tidak pernah dihadapi oleh UMNO sebelum ini sudah pastinya perlu ada kesungguhkan untuk diadaptasi.

“Semoga UMNO akan terus diberi petunjuk dalam mendepani semua permasalahan kerserasian ini,” ujarnya lagi.

Dilaporkan, mesyuarat MKT malam tadi menegaskan bahawa sokongan kepada Ismail Sabri sebagai perdana menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan. Lebih dari itu, MKT telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan UMNO berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.