Bantuan Banjir & Drama: Sikap Keterlaluan Ahli Parlimen Muar Dibidas, Raih Simpati Konon Dihalang

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim tampil membidas sikap Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dianggapnya amat keterlaluan dalam menggunakan pengaruhnya memberi persepsi buruk kepada orang lain.

Kata Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, selama ini beliau memilih untuk tidak memberi sebarang reaksi selain terus memberi tumpuan kepada apa jua kerja yang boleh dibuat bersama masyarakat setempat tetapi, kelakuan terkini mengenai soal kononnya Syed Saddiq dihalang membantu mangsa banjir di Johor amat keterlaluan

“Saya sering dihubungi teman-teman atau pihak media setiap kali Ahli Parlimen Muar beraksi. Sangat banyak yang beliau buat walaupun tidak semuanya mengenai hal ehwal Parlimen Muar. Sejak menjadi Menteri dahulu hinggalah menjadi satu-satunya Ahli Parlimen yang tidak dapat peruntukkan, beliau mendakwa Kerajaan telah menghukum kami di Muar bila dinafikan bantuan.

“Sebenarnya saya amat berterima kasih kepada Kerajaan kerana bantuan di Muar tidak pernah terputus dan tiada pun mana-mana pihak yang tersisih, sama ada bantuan dari Persekutuan mahupun Negeri, malah pihak Ke Bawah Duli Tuanku Sultan dan Tuanku Mahkota Johor juga sentiasa mengerakkan bantuan kepada rakyat yang terjejas secara berterusan.

“Bezanya mungkin tiada liputan meluas kerana bila membantu tidak semua perlu dikongsi di media sosial. Mungkin juga kerana ingin mengelakkan tumpuan kerja terjejas jika asyik utamakan liputan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Tegasnya, selain memberi gambaran buruk, Syed Saddiq telah menimbulkan suasana tidak baik kepada Negeri Johor.

“Saya merasakan bahawa sekali ini, saya perlu memberi pendirian secara terbuka supaya Ahli Parlimen saya ini, tidak terus-terusan menggunakan pengaruhnya memberi persepsi buruk kepada orang lain selain dirinya.

“Apa yang saya perhatikan, banyak pihak terlibat dan ramai yang turun membantu tetapi tiada pun timbul sebarang masalah kerana kita telah diberikan makluman apakah kaedah dan cara untuk menghulurkan bantuan ini.”

Jelasnya, sejak Johor dilanda banjir luar biasa pada hujung tahun 2006 membawa ke tahun 2007 yang lalu, pihak pentadbiran Negeri telah mengerakkan ‘standard operating procedures’ sebelum banjir melanda pun dengan sistem pemantauan, komunikasi, penentuan pusat pemindahan sementara (PPS), ‘response team’ serta lain-lain arahan peraturan telah disediakan.

“Cuma sengaja tidak mahu mematuhinya adalah punca segala masalah ini berlaku,” bidasnya.

Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar memaklumkan bahawa mangsa banjir di beberapa kawasan di Johor masih ramai (2,298 orang sehingga 11 Jan 2022) dan mereka semua berada dalam keadaan sentiasa menerima bantuan yang sewajarnya.

“Mari kita terus bantu dan doakan keselamatan semua, sama ada mangsa yang terkesan serta para petugas yang tidak henti-henti menyumbang keringat dan masa dalam memastikan semuanya berada dalam kawalan.

“Itu lebih baik dari asyik ‘berdrama’ seolah-olah dia sahaja yang hebat membantu dan asyik meraih simpati dengan kononnya sering dihalang dari menjalankan tugas,” tegasnya lagi.

Terdahulu dilaporkan, Syed Saddiq yang memenangi Parlimen Muar atas tiket Pakatan Harapan (PH) menerusi laman Twitternya, mempersoalkan SOP ditetapkan dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir, malah mendakwa terdapat keluarga di Muar yang merayu kepada pihaknya untuk mendapatkan pertolongan kerana tidak menerima sebarang bantuan sejak daerah itu dilanda banjir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.