Banjir: MKT Rakam Penghargaan Ahli UMNO Membantu, Harap Sidang Dewan Rakyat Khas Kumpul Idea Bernas

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021 dan Januari 2022 merupakan sesuatu yang diluar jangkaan.

Sehubungan itu, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam ini merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli dan pimpinan UMNO di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan media selepas mesyuarat terbabit memaklumkan bahawa antara yang terlibat ialah kakitangan Ibu Pejabat UMNO, Biro Kebajikan UMNO, Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Bencana Banjir Barisan Nasional (BN), Skuad Sayang, Skuad Sabil, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, UMNO Bahagian dan Cawangan terutamanya di kawasan-kawasan yang terlibat banjir.

Ujarnya, pelbagai bantuan banjir yang diberi oleh kerajaan adalah dialu-alukan.

Namun demikian jelasnya, mesyuarat terbabit mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di Negeri Selangor.

“Sidang Dewan Rakyat khas pada 20 Januari 2022 juga diharapkan dapat mengumpulkan cadangan-cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir-banjir besar pada masa akan datang,” katanya.

Mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn terbabit telah dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub selaku Naib Presiden UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.