Apa Medium Sekalipun, Pascabanjir Penduduk Terjejas Fokus Utama UMNO – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 12 Jan –  Banjir baru-baru ini yang melanda negara termasuklah di beberapa kawasan di Parlimen Jelebu menyebabkan penduduk sekitar beberapa buah kampung bukan sahaja kehilangan harta benda malah lebih menyayat hati ada yang mengalami kerosakan teruk kediaman mereka.

Sudah pasti pascabanjir hari ini menimbulkan kegelisahan dan trauma yang cukup mendalam kepada mangsa-mangsa yang terlibat kerana berdepan dengan ujian berkenaan tentunya menuntut kesabaran mendalam.

Bagi Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bukan sahaja bantuan semasa dan juga pascabanjir, tentunya usaha untuk membaik pulih rumah termasuklah kemudahan infastruktur lain menjadi keutamaan agar penduduk dapat meneruskan kehidupan masing-masing dengan lebih baik.

“Pagi ini saya adakan mesyuarat penyelarasan baik pulih rumah dan infrastruktur dalam Parlimen Jelebu yang rosak akibat bencana banjir tempoh hari. Disebabkan kekangan masa dan keperluan mendesak untuk kita pastikan rumah-rumah mangsa dibaik pulih segera, saya terpaksa menggunakan medium online untuk duduk berbincang,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Jalaludin lagi yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, walaupun dengan apa-apa medium sekalipun yang penting dan perlu diberi keutamaan adalah penyelarasan pelbagai peringkat agar ianya dapat melicinkan segala perancangan untuk manfaat semua.

“Yang penting penyelarasan di peringkat bawah dapat dijalankan dengan laju, cekap dan teliti untuk manfaat semua. Saya mengharapkan para mangsa banjir di mana-mana sahaja khususnya di Jelebu baru-baru ini dapat menikmati kemudahan keperluan asas dengan serta merta,” ujarnya.

Sebelum ini, memetik laporan, mangsa yang terjejas banjir di Parlimen Jelebu menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) masing-masing yang diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ditanggung oleh mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.