Tidak Timbul Masalah Berhubung Pemberian Bantuan Banjir Di Johor – Hasni

JOHOR BAHRU, 11 Jan – Tidak timbul sebarang masalah setakat ini berhubung pemberian bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir di Johor, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekiranya terdapat kelewatan pemberian bantuan berlaku, ia hanya melibatkan kes-kes terpencil.

“Saya sudah menekankan bahawa soal banjir bukanlah kali pertama di Johor, kalau ada pun kelewatan (beri bantuan), itu kes-kes yang terpencil..saya anggap tidak ada apa yang boleh menghalang atau kesukaran untuk bekalan bantuan sampai kepada mangsa banjir.

“Saya tidak nafikan juga mungkin ada sedikit masalah komunikasi (seperti) ada katanya jumlah berpindah hanya 10 keluarga tetapi yang datang 15 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) jadi mungkin khemah lambat sampai, perkara-perkara seperti itu.

“Jadi saya tidak merasakan bahawa ada sebarang masalah yang timbul sepertimana yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak,” kata beliau kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Anugerah Keusahawanan Johor 2020, di sini semalam.

Hasni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa prosedur operasi standard (SOP) disifatkan menyusahkan rakyat sehingga bantuan lambat sampai kepada mangsa banjir di PPS.

Dakwaan itu diutarakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu menerusi hantaran di Facebook rasminya selepas sebuah keluarga di Muar mendakwa bantuan tidak sampai kepada mereka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai anggaran kerugian banjir di Johor, Hasni yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu menjelaskan, jumlah itu hanya boleh ditaksirkan selepas banjir di negeri ini pulih sepenuhnya dan kesemua PPS ditutup.

Katanya jumlah kerugian akan ditaksirkan dalam bentuk harta benda termasuk kerosakan kebun, ladang dan sebagainya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.